Jika kita mendengar kisah roh pulang ke rumah, hakikat
sebenarnya ia adalah satu perkara yang bertentangan dengan Islam. Apabila
matinya anak adam, maka terputuslah segala hubungan si mati dengan dunia ini.
Ini kerana roh tersebut sudah berpindah ke alam yang lain. Maka, sebagai
manusia yang lemah, kita perlu tahu bahawa segala rahsia di alam ini hanya
Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Di bawah ini terdapat satu kisah di mana
seorang nenek telah bermimpikan arwah yang mana memohon supaya membersihkan darahnya
di bawah tikar. Persoalannya, darah apakah itu?
Ibuku hanya terpaku apabila mendengarkan berita sedih
itu. “Kami harap Cik Rahmah banyakkan bersabar,” nasihat anggota polis yang
membawa berita berita sedih kepada keluarga kami pada petang itu, berita kematian
bapa saudaraku iaitu adik ibuku. Walaupun umurku baru 12 tahun, namun aku masih
ingat segalanya. Ia berlaku dalam tahun 1972. Pakcikku menemui maut dalam satu
kecelakaan jalan raya di Jalan Bahar. Beliau menunggang skuter bersama
isterinya yang sedang sarat mengandung enam bulan, anak sulung mereka.
Pakcikku yang kami panggil “Pak Su” baru berusia 33 tahun
ketika beliau pergi meninggalkan kami. Masa itu keluarga kami tinggal di Pepsy
Road di Pasir Panjang, berdepan dengan Masjid Islah. Apabila malam tiba,
keadaan begitu gelap dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerek dan
unggas malam. Hanya sesekali terdengar bunyi kenderaan berlalu – kenderaan yang
dimiliki oleh orang kampung tengah yang terletak tidak jauh dari rumahku.
Sesekali terdengar bunyi salakan anjing. Semasa hidupnya, pakcikku adalah
seorang yang peramah, mesra dan periang. Bergurau dan bersakat dengan kami adik
beradik adalah antara kegemaraannya. Beliau juga suka menunggang skuter dengan
laju.
Sering ibu dan ayahku menegur cara beliau menunggang
skuter. Namun pakcikku tidak menghiraukannya. Pada suatu hari aku terdengar
ibuku memarahi pakcikku, “Kau jangan degil, nanti kau mati pun dengan skuter
ni!” Mungkin benar kata orang, seseorang yang mati secara mendadak seolah-olah
terasa kerana tidak dapat berpesan atau meninggalkan wasiat. Mayat dan roh
mereka dikatakan seolah olah tidak tenteram. Setelah tiga hari dikebumikan,
kami sekeluarga sering didatangi roh arwah pak su. apabila masuk waktu maghrib,
kami selalu ternampak semacam imbasan beliau di bilik belakang tempat beliau
dimandi dan dikafankan. Adakalanya kami terdengar seperti suara beliau
berbual-bual, bunyi skuter beliau dan jugak bunyi siulannya.
Yang paling menghairankan kami, walaupun sudah hampir dua
minggu berlalu,namun bau pacai dan setangi yang kami gunakan untuk menguruskan
mayat beliau masih kuat baunya. Yang masih ku ingat, kakak dan kedua-dua
abangku sering diganggu pak su, kerana semasa hayatnya pak su begitu mesra
dengan mereka. Kakaklah yang sering melihat bayangan pak su. Abang-abangku pula
sering diganggu semasa tidur, dicuit-cuit dihidungnya – kebiasaan pak su semasa
hidupnya. Ibuku pulak sering terdengar bualan dan siulan adiknya itu. Isteri
arwah pula sering terngigau-ngigaukan beliau. Beliau sering bermimpikan arwah
pak su memesan agar beliau menjaga anak yang bakal dilahirkan itu dengan
sempurna. Pernah juga isteri beliau terjaga kerana bermimpikan arwah pak su
datang berjumpa dengannya lalu menunjukkan bekas jahitan post mortem pada
tubuhnya.
Masih ku ingat ketika itu isteri pak su terjaga pada
tengah malam sambil memekik nama pak su dan diikuti dengan salakan anjing yang
mendayu-dayu. Sungguh menyeramkan ketika itu. Mungkin benar kata orang, roh
orang yang baru mati akan berada di dalam rumah selama 40 hari. Kami sering
mengaji dan membaca yasin serta berfatihah untuk disedekahkan kepada arwah
tetapi kami hairan mengapa rohnya seolah-olah tidak tenteram. Apa yang
menghairankan kami lagi ialah pada setiap hujung minggu ketika abang dan
seorang lagi pakcikku menziarahi kubur allahyarham, terdapat lubang dihujung
kaki atau di bahagian kepala kubur beliau.
Menurut pakcikku yang sorang lagi, lubang tersebut begitu
dalam. Beliau cuba menyucuk lubang itu dengan kayu sepanjang 4 kaki dan
dilepaskan, batang kayu itu terus jatuh ke bawah. Yang lebih menghairankan,
apabila lubang di bahagian kakinya ditutup minggu ini, akan muncul pula lubang
dibahagian kepalanya pada minggu depan. Begitulah keadaannya berterusan.
Kami pula sering berasa ketakutan – terutama sekali aku
dan kakakku. Mentelah lagi salah sorang sahabat karib pak su pula dikatakan
terkena “badi” beliau. Entah macam mana, dengan izin Allah swt. masuk minggu
ketiga, nenekku (kini sudah arwah) bermimpikan pak su memberitahunya supaya
membersihkan bilik bekas beliau dimandi dan dikapankan. Menurut arwah nenekku,
pak su memberitahunya bahawa bilik itu tidak dibersihkan dengan betul. Masih
terdapat bekas-bekas darah dan air mandi beliau yang bertakung dibawah tikar
getah dalam bilik itu. Memang benar seperti kata Allahyarham di dalam mimpi
arwah nenekku.
Keesokkan harinya, kami sekeluarga membersihkan bilik tempat
Allahyarham dimandikan dan dikapankan – ternyata masih terdapat bekas-bekas
darah dan air mandi beliau yang masih lembab di bawah tikar getah itu. Ayahku
terus membakar tikar getah itu dan abunya ditanam. Kami sekeluarga lantas
membersihkan bilik itu dengan lebih sempurna lagi. Hairannya, setelah itu kami
sekeluarga tidak lagi diganggu. Kini sudah lebih 30 tahun berlalu, anak di
dalam kandungan makcikku dulu sudah pun dewasa dan menjadi seorang isteri yang
baik. Aku juga tidak pernah lupa mendoakan al-fatihah untuk allahyarham pak su
setiap kali selepas solat.
No comments:
Post a Comment