Sebuah keluarga bingung apabila anak gadisnya sering
ghaib ketika berada di rumah. Gadis yang sering ghaib ini adakalanya muncul
kembali di kawasan tanah perkuburan.
Jika sebelum ini, mungkin ada yang pernah membaca kisah
tentang seorang lelaki yang ghaib namun kemudiannya ia muncul di Tanah Suci
Mekah. Walaubagaimanapun kisah itu sudah lama berlalu, kini terdapat satu kisah
di mana seorang gadis sering ghaib di rumah, namun demikian, ia muncul semula
tetapi bukanlah di rumah, tetapi dikawasan kubur. Kisah misteri ini mendapat
perhatian dari penduduk setempat.
”Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada
orang lain di sini.” Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti
Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba
menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer
dari rumahnya tiga hari sebelum Aidilfitri lalu.
Siti Balqis (atas), 22, yang menghadapi gangguan misteri
sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari rumahnya di Kampung Gong
Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu telefon bimbit yang ada bersamanya
menunjukkan jam 2 pagi.
“Namun, saya tidak tahu bagaimana boleh berada di tanah
perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah perkuburan pada malam
itu.
Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak,
saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer
dari rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.
Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui kisah kubur
berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi hingga kini tidak
tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan dilakukannya sepanjang lima
hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.
Namun, Siti Balqis mendakwa sepanjang di tanah perkuburan
itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran.
Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada
malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya
bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak
menemuinya.
“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan
di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di
situ,” katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5
pagi untuk membuat laporan.
Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6
pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju
berlumuran tanah merah.
Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk daerah ini
hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama keluarganya selepas anak
sulung empat beradik itudikatakan ghaib ke pelbagai tempat termasuk siling
rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh simen dan atas kubur.
Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki
ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika
di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.
Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang
kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh
bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.
Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk
mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita Harian turut berada di
rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan dakwaan dia ghaib.
Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat
kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia
dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta
solat hajat dan tahajud.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan
negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar biasa tetapi perlu
dilihat secara positif dari sudut agama.
Muhammad Ramli berkata, cara terbaik mengatasinya ialah
ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi
daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.
Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi),
Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis itu mungkin ada kaitan
dengan gangguan makhluk halus.
Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan
mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi membolehkannya tidak lagi
diganggu oleh makhluk halus.
“Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan
apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan dengan keramat kerana ada
makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah orang
Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment