Melepaskan ‘hajat’ pada lewat malam antara yang agak
menyeramkan terutamanya orang-orang pada zaman dahulu. Ini kerana kebiasaannya,
tandas yang dibina terletak berjauhan dari rumah mereka. Kini tandas sudah
lengkap dibina dalam rumah. Namun begitu, ada juga yang masih takut untuk pergi
ke tandas pada lewat malam terutamanya kanak-kanak. Ada sebuah kisah di mana
seorang lelaki ini mahu pergi ke tandas, akan tetapi sejurus daun pintu dibuka,
dia terlihat seorang wanita berambut panjang duduk di atas jamban tersebut.
Siapakah wanita itu?
Cerita hantu dan seram: Roh wantia dalam tandas |
Nama saya Budi. Kisah ini berlaku kira-kira 23 tahun yang
lalu ketika itu umur saya baru 14 tahun. Saya sering ke rumah jiran yang
tinggal di atas. Mereka merupakan keluarga Melayu, suami, isteri dan kedua-dua
anak lelaki mereka yang sebaya dengan saya. Saya selalu ke rumah beliau
lagi-lagi kalau ada perlawanan bolasepak di televisyen.
Pada suatu malam saya bersama dua orang adik lelaki saya
dijemput ke rumah beliau untuk menyaksikan perlawanan bolasepak Piala FA
Inggeris. Apabila sampai di rumahnya, saya dapati lampu semua dipadamkan. Cuma
lampu televisyen sahaja yang menyinari ruang tamu. Saya pun mengambil tempat
duduk di sebelah pintu masuk dapur.
Di ruang tamu itu hanya jiran saya dan kedua-dua anak
lelakinya. Saya pula ke sana bersama dengan kedua-dua orang adik saya. Isteri
jiran saya tidak kelihatan, barangkali sedang tidur di bilik. Di pertengahan
perlawanan, saya rasa hendak membuang air kecil, jadi saya pun bangun dan terus
ke tandas dapur tanpa menghidupkan lampu tandas. Pada fikiran saya,
“cepat-cepat masuk, cepat-cepat keluar”, sebab pertandingan sedang sengit
berlangsung.
Semasa saya menolak pintu tandas tersebut, alangkah
terperanjatnya saya, apabila saya dapati isteri beliau sedang duduk di atas
jamban menghadap pintu bilik tandas, yang ketika itu dalam keadaan
gelap-gelita. Rambutnya mengerbang dan wajahnya hanya tunduk ke lantai. Beliau
tidak marah atau terperanjat. Saya punyalah malu, saya pun meminta maaf
beberapa kali lalu terus tutup pintu tandas tersebut. Akibat malu dan
terperanjat, rasa hendak menyahut seruan alam pun hilang. Saya pun duduk semula
di tempat duduk saya dan kembali menyaksikan perlawanan tersebut.
Semasa menonton perlawanan bolasepak, saya ada terfikir
jamban duduk bilik air menghadap ke tembok. Kenapa isteri beliau duduk senget
menghadap ke arah pintu tandas? Satu lagi, beliau tidak macam terperanjat pun
semasa pintu bilik air ditolak. Selalunya kalau kita di dalam bilik air, kalau
ada yang cuba menolak pintu, mesti kita akan terjerit atau sekurang-kurangnya
memberi isyarat. Ini beliau seperti patung saja. Saya pun tak fikir apa-apa
sambil meneruskan menyaksikan perlawanan bolasepak. Setelah habis kami pun
pulang dan terus tidur.
Beberapa hari kemudian terdetik di fikiran saya apabila
saya hendak masuk ke dalam tandas rumah saya dan tiba-tiba teringat tentang
kejadian malam kelmarin. Saya hairan mengapa isteri beliau duduk di tandas
selama hampir 30 minit dalam keadaan gelap gelita. Setelah tamat perlawanan
bolasepak pun isterinya masih belum keluar dari dapur, sebab posisi kedudukan
saya di tepi pintu dapur pada malam itu. Kalau beliau keluar pun mesti saya
akan perasan. Barangkali beliau malu setelah saya ternampak beliau dalam
keadaan begitu agaknya.
Kemudian apabila saya bertemu dengan anak jiran saya,
saya bertanya kepadanya di mana emaknya sewaktu kami menonton perlawanan
bolasepak? Jiran saya berkata emaknya pergi rewang kerja kahwin rumah saudara
mereka. Saya pun tercengang dengan penjelasannya .Dia ada perasan perubahan
pada wajah saya. Dia tanya, “Apasal? Kau nampak mak aku dalam tandas ke?”
sambil senyum sinis terhadap saya. Saya kurang pasti apa makna senyuman beliau
tetapi saya rasa mereka ada memelihara sesuatu.
No comments:
Post a Comment