Kisah kali ini adalah di kawasan Johor Bharu. Orang Johor
Bharu terutama yang di sebelah Tampoi, Skudai, Kulai dan sebagainya tentunya
mengenali Kemayan City. Kemayan City adalah sebuah kompleks yang terbengkalai
mangsa kegawatan ekonomi tahun 1998. Ia dikenali ramai kerana gahnya semasa
pelancarannya dahulu juga jalan Overheadnya yang menjadi tempat U-turn ke
Skudai atau Tampoi. Tak taulah status jalan tersebut samada diiktiraf atau
tidak tetapi memang jem di situ terutama semasa waktu petang.
Tetapi kini Kemayan City menjadi tempat yang misteri dan
dipercayai menjadi port Mat gian. Namun ada juga yang mengatakan Kemayan City
berhantu terutama oleh warga Singapura seperti yang diceritakan oleh Ustaz
JAIJ, Ustaz Hanafiah Abdul Razak.
JOHOR BAHRU: Mall berpuaka! Itulah gelaran diberi kepada
kompleks beli-belah terbengkalai Kemayan City di Tampoi apabila beberapa
keluarga rakyat Singapura terjebak membeli-belah di situ sebelum pulang ke
negara asal mereka dengan membawa daun kering atau barangan dibeli lenyap
begitu saja.
Cerita pelik dan menyeramkan berkaitan aktiviti
paranormal di kompleks Kemayan City bukan lagi asing di kalangan masyarakat
bandar raya ini, malah misteri alam ghaib di pusat beli-belah terbengkalai
lebih 10 tahun lalu itu menjadi buah mulut penduduk Singapura.
Bagaikan badi kepada warga Singapura, cerita menggerunkan
di Kemayan City dikatakan popular kalangan warga republik berkenaan yang
mendakwa mengalami peristiwa dianggap susah diterima akal seperti berbelanja
dan makan di pusat beli-belah yang sebenarnya tidak pernah beroperasi selepas
projek itu terhenti pada 1998.
Kejadian menyeramkan di pusat beli-belah berkenaan pernah
dialami sekeluarga rakyat Singapura dari kawasan perumahan di Woodland pada Jun
tahun lalu.
Semuanya bermula apabila keluarga terbabit dikatakan
mengunjungi pusat beli-belah terbengkalai terletak di tepi Jalan Johor
Bahru-Air Hitam pada satu malam, ketika mereka dalam perjalanan pulang
menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.
Sebaik tiba di Kilometer 13 Jalan Johor Bahru-Air Hitam
menghala pusat bandar raya kira-kira jam 9 malam, keluarga terbabit tertarik ke
arah bangunan di sebelah kiri jalan berkenaan yang bergemerlapan dengan lampu
aneka warna dan meriah dengan kunjungan orang ramai.
Tarikan itu menyebabkan keluarga terbabit membuat
keputusan singgah dan mendapati kemeriahan itu adalah majlis pembukaan pusat
beli-belah yang diadakan secara besar-besaran.
Menyangkakan Kemayan City dipulih dan memulakan
operasinya, keluarga berkenaan tidak melepaskan peluang singgah memandangkan
malam masih awal.
Selepas berada lebih setengah jam di situ, keluarga
berkenaan beredar kerana mempunyai satu lagi destinasi yang perlu singgah
sebelum balik ke Singapura.
Mereka menuju rumah saudara di Kampung Pasir yang
terletak tidak jauh dari pusat beli-belah berkenaan.
Ketika berada di rumah saudara, seorang ahli keluarga
terbabit bercerita mengenai kehebatan majlis pembukaan Kemayan City ketika
singgah di situ.
Sungguh mengejutkan apabila keluarga malang itu mendapat
berita daripada saudara mereka bahawa bangunan yang didakwa beroperasi
sebenarnya masih terbengkalai sehingga kini, bahkan semakin usang.
Pengalaman yang ditempuhi keluarga terbabit diceritakan
sendiri mangsa kepada pegawai di Unit Falaq Syarie Jabatan Mufti Johor,
Hanafiah Abdul Razak.
Menurut Hanafiah, beliau dihampiri mangsa ketika
menyampaikan kuliah agama bulanan di kawasan perumahan berkenaan, beberapa hari
selepas kejadian menyeramkan itu.
“Lelaki itu sering mengikuti kuliah agama saya dan pada
satu hari dia bertanyakan kepada saya apakah yang berlaku di Kemayan City
kerana ada ahli keluarganya mendakwa berbelanja di pusat beli-belah itu.
“Namun, semua barangan dibeli itu termasuk pakaian, didapati
hilang sebaik mereka tiba di rumah dan keadaan itu menimbulkan gangguan emosi
kepada keluarga berkenaan selepas melalui detik dianggap pelik dan menyeramkan
itu,” katanya. Menurut Hanafiah, beliau turut pernah diajukan soalan yang
meminta penjelasan berhubung alam ghaib oleh orang ramai yang mengikuti kuliah
agamanya di negara republik itu, terutama berkaitan kejadian aneh di Kemayan
City.
“Dari segi pandangan Islam, kejadian dialami segelintir
pihak di bangunan terbengkalai itu angkara syaitan yang sentiasa mencari jalan
untuk memperdaya dan menyesatkan umat Nabi Adam.
“Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Adzkar menerangkan
beberapa jenis syaitan termasuk bernama Zalanbur berkeliaran di bandar untuk
melalai dan melekakan manusia termasuk mendalangi kejadian individu yang pernah
tersesat ke bangunan terbengkalai Kemayan City itu” katanya. Katanya, dalam
hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad ada menerangkan bahawa rumah atau bangunan
yang dibiarkan kosong dan kotor untuk satu tempoh lama akan menjadi kediaman
syaitan kerana lumrah makhluk yang dilaknat Allah itu menyukai benda kotor dan
busuk.
“Namun, umat manusia amat bertuah kerana dikurniakan
hadiah yang tidak ternilai oleh Allah iaitu al-Quran mengandungi ayat yang
boleh dijadikan pendinding dari diganggu mahkluk halus seperti jin dan syaitan
iaitu ayat Kursi” katanya.
No comments:
Post a Comment