Nama saya Ary. Saya ingin berkongsi satu kisah, yang pernah
dialami oleh saya sendiri. Kisah ini terjadi kira-kira empat tahun yang lalu.
Waktu itu saya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di salah sebuah
syarikat keselamatan di Singapura.
Malam itu saya dikehendaki untuk menggantikan tempat teman
sekerja saya, yang secara kebetulan pada malam itu dia diserang demam panas dan
tidak dapat meneruskan tugasnya. Saya diarahkan untuk ke tempat itu yang
bertempat di kawasan Bishan yang berdekatan dengan kompleks kolam renang.
Setibanya saya di tempat itu, kawasan di sekeliling bangunan
itu sungguh menyeramkan. Timbul pelbagai persoalan di dalam hati saya pada
ketika itu. Kawasan bangunan itu dikelilingi oleh pokok-pokok rimbun yang
menambahkan ketakutan di dalam hati.
Tanpa membuang masa saya pun meneruskan langkah menuju ke
bilik pengawal dan di.situ saya melihat teman sekerja saya sedang duduk di
dalamnya. Saya pun menghampiri dan memberi salam, dia menyambut salam dengan
wajahnya yang pucat mungkin disebabkan demam. Dengan tidak bertanya banyak,
saya pun menyuruhnya segera pulang memandangkan dia seperti tidak bermaya.
Selepas menyerahkan tugasnya kepada saya, dia pun beredar.
Di dalam bangunan itu, tidak ada sesiapa kecuali saya kerana semua pekerja di
tempat itu, bekerja dari pukul lapan pagi hingga lima petang (waktu pejabat).
Jam di dinding menunjukkan sudah hampir pukul sebelas malam. Namun pada waktu
itu, hati saya mula gelisah seperti ada yang tak kena. Hampir segala yang saya
lakukan seperti ada yang mengawasi.
Dengan perasaan segan silu saya pun keluar dari bilik
pengawal untuk menghisap rokok dengan harapan agar perasaan negatif itu berubah
menjadi positif. Semasa saya sedang menghisap rokok, tiba-tiba seluruh anggota
badan saya terasa seram sejuk. Bulu roma tengkuk dan tangan mula meremang,
dengan segera saya mematikan bara rokok dan masuk kembali ke dalam bilik
pengawal.
Setibanya saya di dalam bilik, saya dapat merasakan seperti
ada sesuatu yang berada bersama saya di dalam bilik tersebut. Hati menjadi
semakin kacau. Saya pun mula melaungkan Azan dan membaca surah-surah suci.
Semakin kuat saya membaca, semakin kuat getaran yang dapat saya rasakan.
Selepas menahan perasaan takut selama tiga jam, saya pun
menghubungi salah seorang penyelia yang berada dekat dengan lokasi di mana saya
ditugaskan. Saya menceritakan segalanya kepadanya. Dia menyuruh saya untuk
bertenang dan memperbanyakkan membaca surah-surah sehingga dia datang. Selesai
saja berbual dengannya, tiba-tiba bulu roma saya meremang, kali ini dua kali
ganda hebatnya.
Tanpa membuang masa dengan segera saya bergegas keluar dari
bilik itu dan berlari menuju ke pagar bangunan tersebut. Ketika itu saya tak
kira, apa nak jadi, jadilah! Saya ingin keluar dari kawasan itu dan menantikan
kedatangan Pak Aziz iaitu penyelia yang saya maksudkan tadi. Semasa saya sedang
melangkahkan kaki keluar dari pintu pagar, saya pun dengan secara tidak sengaja
telah menoleh ke belakang. Ya Allah saya ternampak satu lembaga seperti
bertubuh manusia tidak berpakaian!!!
Saya tersentak sejenak, lembaga itu pun lenyap di sebalik
pokok kelapa yang berdekatan dengan bangunan janakuasa elektrik. Saya menggigil
ketakutan, mujurlah ia berada kira-kira seratus meter dari mana saya berdiri.
Saya bergegas keluar setelah saya dapat bergerak dan terduduk di simpang jalan
kecil di situ.
Saya menghidupkan bacaan surah dari alat mp3 dalam telefon
bimbit sambil melihat ke arah di mana saya ternampak lembaga itu. Selang
beberapa minit kemudian, Pak Aziz pun tiba dan saya menceritakan
segala-galanya. Pak Aziz dan saya pun masuk ke dalam kawasan itu, dia pun
terkumat kamit membaca ayat-ayat suci sambil memandang ke sekeliling kawasan
itu. Dengan perlahan dia pun berkata kepada saya, "Ini memang tempat
permainan mereka..."
Berderau jantung saya mendengarkan ucapannya. Sehingga kini
saya sendiri tak tahu apakah lembaga itu. Sungguh tidak dapat dilupakan
peristiwa yang sungguh menakutkan itu.
No comments:
Post a Comment