"Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru
saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii..
menung nampak? Kenapa?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama
menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.
"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit
kena tanah," saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak
datang ke kepala.
Mari pergi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap
fasal kerja, gaji, overtime dll. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi
dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.
"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya
lantas duduk termenung.
Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang
Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran
saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin
mendesak.
Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah
menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita
tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal si mati.
Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang
dengan kemungkaran, bersiap sedialah...
Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga
ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu
terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.
Eee.... seramnya. Macam mana agaknya rupa Munkar dan Nakir.
Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya ?
Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking
datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita
seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal'azim...
Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid.
Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas
dan mengacau fikiran.
Pergi... pergi sekarang ! Johar, masa inilah kalau nak cuba
. Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.
Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar
manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan
jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.
Cepat, cepat, cepat ! Inilah masanya. Johar, apa engkau
tunggu lagi ? ' Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut ?
Allah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati ...
Jadi bisu ? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan
pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat
semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!
Dimulai lafaz Bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus
bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja
digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai
persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian sekali
gus, taklah timbul masalah.
Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah,
lailahaillallah, lailahaillallah...
Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan
mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya
betul-betul gemuruh.
Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah,
darah dan segala seksaan yang pernah didengar daripada guru-guru agama
terbayang di depan mata.
Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca
al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu.
Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada
malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.
Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya
menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh.
Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menyeberangi ke alam barzakh,
tapi saya ingin juga merasainya.
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia
menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.
GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!
Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu
satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.
"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini ? " saya
menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati.
Air mata seperti hendak mengalir.
GGGRRRRUUUMMM...
Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit
menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat
daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan
bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku..
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai
dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK
Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya
laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di
kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.
AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!
Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan
simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar
daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak
mampu ditembusi.
Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila
tiba-tiba... PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.
PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur
berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu,
kedengaran pula tulang-temulang patah !
Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata,
mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan
menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang
selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang
itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila
mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.
Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba
satu deruan angin yang amat dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan
telinga. Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam
seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang
teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah
menyala.
Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya
menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh,
panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.
"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!"
saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.
Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke
sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi
itu membakar daging paha saya.
"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya
meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus
menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.
Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan
bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana
dilanda gempa.
Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap
bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap
lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.
Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya
terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga
hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap
serta-merta. Suasana terasa hening.
"Johar... Johar !! " sayup-sayup nama saya
dipanggil.
Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak
larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.
"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil
lagi, badan digoncang-goncang.
Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar.
Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.
Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar
semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah
serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari,
akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.
"Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur
tu engkau tumbuk.. Aku ambil air. Aku simbahlah," kata Bakar sambil
menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.
Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak
ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.
Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan
akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan
menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa
berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.
Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita
saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan
itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan,
mimpi dan igauan semata-mata.
Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya
saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat
itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi
semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.
astaugfirullahal'azimmmm...
ReplyDeletekisah ni dr koleksi kisah seram kedah2u
ReplyDeletehttp://kedah2u.com.my/angker/kisah-penggali-kubur.html
ReplyDeleteYa allah...astaghfirullahalazim...
ReplyDeleteRasuluallaw saw juga bersabda,sesungguhnya azab kubur itu ada. Sama2lah kita bermuhasabah diri dan kembali kepada Allah.
ReplyDeleteSubhanallah wa astagfirullah.
ReplyDeleteiye ke? Nape masa pindah mayat dr kubor xde pun tulang tulang yg patah ke remuk cam
ReplyDeleteyg diceritakan. Kalo berpandukan crite tadi ada bunyi keruk keruk la, prak2 la....
Ini perasaan ke pengalaman