Kisah seram : Tengkorak terbang di Seri Alam


TENGKORAK TERBANG DI BUKIT SERI ALAM 

Pada mulanya dia menyangka objek bulat yang terawang-awang di dalam semak, di atas bukit belakang rumah orang tuanya itu, hanya sehelai daun terap kering yang tersangkut pada sawang labah-labah. 

Sebab itu, dia terus melangkah ke depan bersama dua rakannya, tanpa berfikir apa-apa yang pelik akan dihadapinya hari itu. Bagaimanapun apabila objek bulat itu didekatinya, peluh di badannya terus saja tersimbah. 

Matanya tidak berkelip dan jantungnya pula bagaikan mahu gugur apabila terpandang objek bulat berwarna coklat kehitaman itu adalah tengkorak manusia. Paling mengerikan tengkorak itu pula terbang ke kiri ke kanan, seperti mahu menghalang perjalanannya, sambil asap mula keluar berkepul-kepul. 

Ketika itu dia dan dua orang kawannya bercadang menyumpit monyet di atas bukit, terpaksa membatalkan hasrat mereka. Dalam sesaat itu juga mereka berlari susup-sasap pulang ke rumah. 

Tidak cukup dengan gangguan tengkorak terbang, beberapa hari selepas itu dia diganggu pula dengan kehadiran seorang perempuan berbaju putih yang dilihatnya duduk di dahan pokok tinggi. Bukan dia saja yang melihatnya, malah dua rakannya juga terpandang perempuan berbaju putih berkilat di atas pokok itu. 

Dua kisah itu adalah antara gangguan yang pernah berlaku di perkampungan Orang Asli Bukit Cahaya Seri Alam, di Shah Alam beberapa tahun lalu, sebelum berakhir apabila sebuah surau dibina di situ dan ramai pula penduduknya memeluk agama islam. 

Cerita menyeramkan mengenai gangguan tengkorak berterbangan dan langsuir itu diceritakan sendiri oleh Ramli Hamid, 31, dalam kunjungan ke pekampungan Orang Asli bersempadan dengan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam, baru-baru ini. 

Ramli memberitahu, dia yakin tindakan sebahagian besar penduduk di situ memeluk Islam adalah antara punca sehingga kini makhluk halus tidak lagi muncul dan mengganggu. 

“Walaupun kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, saya tetap ingat dan apabila difikir-fikirkan,terasa betapa agung kebesaran Islam. Manakan tidak, apabila ramai orang kami memeluk Islam dan surau pula dibina di sini, gangguan itu tidak berlaku lagi !” katanya seperti lega. 

Ketika menceritakan kejadian terserempak tengkorak manusia berterbangan di atas bukit di belakang rumah orang tuanya, Ramli memberitahu ketika itu dia bersama dua rakannya mendaki bukit pergi menyumpit. 

“Kejadin itu berlaku ketika senja. Masa itu fikiran kami hanya ingatkan monyet yang mahu disumpit. Sebagai anak Orang Asli yang biasa dengan hutan, kami juga tidak pernah menyimpan rasa takut. Kalau takut pun hanyalah untuk berhati-hati kalau-kalau terserempak binatang buas seperti harimau,” beritahunya. 

Bagaimanapun, hasrat menyumpit terbantut tiba-tiba apabila dia terpandang satu objek bulat macam sehelai daun terap kering. Ia bergantung-gantungan di atas bukit tempat dia dan kawan-kawannya mendaki. 

“Apabila semakin dekat, apa yang saya sangkakan tenyata meleset. Selepas diamat-amati, barulah saya tahu objek bulat itu sememangnya tengkorak. Sudah tentu kami tergamam !” katanya. 

Menurut Ramli, tengkorak itu kelihatan mengacah-acah ke arah dia dan kawan-kawannya beberapa kali seperti mahu menghalang mereka meneruskan perjalanan ke atas bukit. Ketika itu hari memang sudah senja dan keadaan pula mulai gelap. 

Ramli pada mulanya merasakan dia seperti bermimpi, tetapi apabila dua kawannya yang lain juga memberitahu nampak tengkorak yang sama, dia terus berlari pulang. Dia diikuti kawan-kawannya. Mereka tidak menoleh ke belakang lagi kerana terlalu terkejut terpandang tengkorak terbang. 

“Selepas kejadian itu kami bertiga demam seminggu. Saya tak tahu sebabnya. Bagaimanapun saya rasa mungkin juga sebab terkejut diganggu tengkorak terbang yang kami nampak di atas bukit itu,” katanya. 

Kejadian itu menurut Ramli memang dilihatnya sendiri dan bukan diceritakan berdasarkan fantasi. Bagaimanapun, dua rakannya yang turut sama melihat gangguan tengkorak itu tiada di perkampungan itu. Mereka belum pulang bekerja. 

Gangguan yang pernah berlaku, menurut Ramli lagi tidak berakhir di situ. Tidak cukup dengan gangguan tengkorak terbang, beberapa hari selepas itu Ramli mengalami gangguan yang lain pula. 

Ketika itu, Ramli dan kawan-kawannya dalam perjalanan pulang dari kedai, kira-kira pukul 11.00 malam. Mereka berjalan kaki, menyusur jalan berbukit sebelum sampai ke perkampungan Orang Asli yang sebelum itu dikenali dengan nama Kampung Orang Asli Air Kuning. 

“Pada masa mula-mula mendaki jalan bukit yang di kelilingnya penuh hutan, saya dah rasa hati berdebar-debar. Saya buat tak kisah, sambil itu berjalan terus untuk pulang ke rumah. 

“Tapi ketika tiba berdekatan tangki air, bulu roma saya tiba-tiba menegak sebaik saja hidung mula terhidu bau wangi pada sebelah malam kata orang tua-tua, biasanya menandakan ada makhluk halus tidak jauh dari kawasan itu. 

“Saya kuatkan hati supaya tidak takut. Tapi kawan-kawan saya di sebelah mula saling berpandangan. Mungkin mereka juga terhidu bau wangi itu. Belum sempat kami bertanya atau bercakap apa-apa, saya terpandang satu lembaga wanita berbaju putih labuh di atas pucuk pokok yang tinggi,” katanya. 

Serentak itu, tambah Ramli,kawan-kawannya mencuit tangan masing-masing. Ramli memang nampak wanita itu duduk sambil tubuhnya terhayun-hayun setiap kali dahan pokok itu ditiup angin. 

“Tidak lama selepas itu kami terdengar bunyi perempuan ketawa dan mengilai. Memang bunyi itu datangnya dari arah wanita di dahan pokok yang tinggi itu. Kami tercegat ketakutan. Tapi masih juga melihat wanita berbaju putih di atas pokok itu,” katanya. 

Pada masa itu, kata Ramli, dia teringat kata-kata orang tua-tua di perkampungan Orang Asli itu. Wanita berbaju putih yang sering duduk di dahan pokok tinggi dan mengilai itu adalah langsuir. 

“Dalam gelap malam, kami berlari laju mahu sampai segera ke rumah masing-masing. Teringat pada perempuan berbaju putih itu, kami teringat pula pada tengkorak terbang di kampung kami sebelumnya,” kata Ramli lagi. 

Apabila tiba di rumah, badannya terus sahaja menggigil dan beberapa hari pula dia diserang demam lagi kerana terkejut. 

Menurut Ramli, dia terdengar orang tua-tua kampung itu berpendapat, gangguan yang berlaku mungkin berpunca daripada kuasa halus yang meracau dan bebas lepas, terutama apabila ada kubur lama di perkampungan itu dikatakan diceroboh pihak tertentu sebelum itu. 

Selepas itu, dua tiga kali lagi dia dan kawan-kawannya terserempak dengan gangguan yang sama, terutama daripada tengkorak yang dilihatnya sering terbang di kawasan berbukit tidak jauh di belakang rumahnya. 

Hanya apabila ramai Orang Asli di kampung itu memeluk agama Islam beberapa tahun lalu, barulah Ramli dan kawan-kawannya perasan gangguan langsuir dan terngkorak berterbangan itu tidak lagi berlaku. 

“Apabila surau mula dibina di sini, saya dan kawan-kawan rasa banyak sangat perubahan yang berlaku. Gangguan yang pelik-pelik semakin tiada. Kami tidak lagi melihat tengkorak berterbangan ataupun langsuir duduk di dahan pokok tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, satu hal yang Ramli percaya hingga kini ialah dengan pembinaan surau di kampung itu memberi rahmat yang cukup besar kepada penduduk Orang Asli di situ. 

“Setiap kali azan kedengaran dari surau, kami rasa kampung ini nyaman dan tidak diganggu makhluk halus lagi. Saya percaya makhluk halus tidak berani mengganggu lagi kerana perkampungan ini ada surau dan sering kedengaran azan setiap kali masuk waktu sembahyang,” tambahnya. 

Tuk Batin perkampungan itu, Mat Shah Abdullah, juga mengesahkan ada anak buahnya memberitahu gangguan yang dihadapi termasuk gangguan tengkorak berterbangan seperti dialami Ramli. 

“Saya belum pernah terserempak, tapi memang anak buah saya ada mengadu mereka melihat sendiri tengkorak dan langsuir yang diceritakan itu. Apa yang diceritakan Ramli itu pernah juga diceritakan kepada saya,” katanya. 

Bagaimanapun, seperti Ramli, Mat Shah juga percaya gangguan makhluk halus itu mula hilang apabila penduduk di situ semakin ramai memeluk Islam dan selepas sebuah surau dibina untuk kegunaan mereka beibadat. 

Kini Mat Shah dan Ramli yang berkerja sebagai Pembantu Am di Masjid Negeri Shah Alam, bersyukur kerana kampung mereka semakin aman. 

Namun Mat Shah sentiasa memastikan anak-anak buahnya tidak bercakap besar selepas beberapa tahun tidak lagi terserempak gangguan tengkorak dan langsuir yang menakutkan itu. 

“Sebagai orang Islam kita kena percaya pada Allah Taala. Bagaimanapun, jangan sampai lupa diri dan sering pula bercakap besar kerana Allah Taala boleh menguji kita bila-bila masa sahaja,” katanya. 

Mat Shah yakin perkampungan yang mereka duduki itu bukan sahaja akan lenyap daripada segala gangguan atau cerita-cerita misteri makhluk halus, tetapi turut akan terus maju tidak lama lagi. 

Malah beliau tidak segan-segan bercerita mengenai cadangan kerajaan untuk memajukan tanah perkampungan Orang Asli itu tidak lama lagi. 

Dengan cadangan pembangunan yang telah dirancang kesemua penduduk Orang Asli di situ akan memiliki rumah yang dikatakan setaraf reka bentuk dan nilainya dengan rumah banglo, milik orang berada. 

“Saya dengar rumah yang akan diberikan kepada kami itu bernilai lebih RM200,000,” kata Mat Shah sambil tersenyum memberi makna berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian pada nasib Orang Asli Selangor (HAK)

Kisah seram : Jelmaan tiga gadis misteri di tasik melati


JELMAAN TIGA GADIS MISTERI DI TASIK MELATI, PERLIS

Destinasi ke Perlis Indera Kayangan, jangan sekali-kali meninggalkan jadual untuk mengunjungi Tasik Melati. Ia sebuah tasik semula jadi mempunyai keluasan 6.4 hektar yang terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Kangar.

Kalau berkunjung ke situ bersama keluarga, sebaik-baiknya pada sebelah petang atau awal pagi. Ketika itu kita dapat melihat panorama yang sungguh mengasyikkan apabila kabus menyelubungi tasik itu. Ia seakan-akan berada di sebalik kelambu sutera.

Di situ tersedia kemudahan riadah, lorong untuk berjalan, dan sampan untuk disewa kepada pengunjung yang suka berkayuh. Ia sesungguhnya dapat merehatkan otot dan ketegangan fikiran, kerana kedudukannya terhindar daripada kesibukan lalu lintas dan kebisingan kota.

Di sebalik keindahan alam di Tasik Melati itu, ia juga menyimpan kisah lagenda menyayat hati yang sebelum ini kurang didedahkan kepada umum.

Tasik Melati telah wujud lebih seabad yang lalu. Ia Cuma mendapat perhatian sekitar sepuluh tahun yang lalu dengan usaha pihak Majlis Perbandaran Kangar. Di situ dibina jambatan dan pondok rehat serta landskap indah yang sepatutnya menjadi pujian pengunjung.

Di tasik itu juga mempunyai keunikan tersendiri, kerana di situ mempunyai 150 tasik kecil, seolah-olah menjadi pulau kepada sebuah lautan luas.

Tasik Melati ketika dulu digeruni penduduk berhampiran. Kononnya di situ terjadi kisah seorang gadis dikenali sebagai Melati bersama dua lagi teman sebayanya menjadi habuan nafsu buas sekumpulan lelaki.

Ketiga-tiga gadis itu dikatakan sedang membasuh kain di hujung tasik. Sambil membasuh, mereka yang hanya berkemban bergurau senda sehingga kain salah seorang daripada mereka terburai dan menampakkan buah dada yang montok dan mekar.

Kebetulan pula ketika itu sekumpulan pemuda melintasi di situ. Apabila terpandang saja keadaan gadis itu, mereka diruntun nafsu memuncak sehingga tidak terkawal lagi. Mereka mengheret ketiga-tiga anak gadis tadi ke bawah rimbunan pepohon meliar di tebing tasik.

Malangnya, ketiga-tiga gadis tadi tidak rela mahkota sucinya dirampas dengan mudah. Mereka melawan. Bagi mereka, lebih rela nyawa melayang daripada menyerah kalah. Akibatnya terjadilah pertarungan sengit di pinggir tasik itu.

Hebat! Ketiga-tiga anak gadis dari kampung hujung tasik itu langsung tidak mahu mengalah. Mereka mempertahankan kesucian diri sehingga nafas yang terakhir. Gerombolan lelaki itu akhirnya berjaya menewaskan anak gadis tiga orang. Wah, apa lagi, mereka meratahnya bagaikan harimau mendapat mangsa.

Kerana sesalan yang tidak berpenghujung dan rasa cemas yang datang secara tiba-tiba, mereka mengambil jalan pintas menyembunyikan kesalahan lalu ketiga-tiga mayat gadis itu dilontarkan ke dalam tasik.

Serentak itu air tasik bergelora, hujan panas pun turun lebat. Titisan hujan bagaikan mutiara berkilauan di dada tasik tanda menangisi kematian tiga gadis itu.

Anehnya belum pun hujan panas berhenti, tiba-tiba ketiga-tiga anak gadis tadi kelihatan bergurau senda sesama mereka sambil berenang di tengah tasik.

“Sampai hari ini masih ramai orang berjumpa ketiga-tiga anak gadis itu sedang bermandi-manda di tengah tasik.

“Apabila hari mendung atau hujan panas, terutama sebelah senja selalu orang nampak ketiga-tiga gadis itu berenang-renang di tasik,” dakwa Darini Abdullah, 32, penjual rojak buah dan air minuman di kawasan letak kereta tasik itu.

Menurut Darini lagi, penunggu tasik itu seekor ular sawa sebesar satu pemeluk.

“Saya rasa ia hanya jelmaan sahaja. Sebenarnya mungkin jin atau orang halus menampakkan dirinya seperti ular sawa pada masa tertentu,” kata Darini lagi.

Darini memberitahu lagi, hanya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini barulah orang ramai mengunjungi tasik itu, terutama selepas dibina taman rekreasi oleh pihak majlis perbandaran. Sebelumnya orang amat takut melintasi di tepi tasik itu apabila menjelang senja.

Katanya, pernah satu waktu ibunya sendiri tersampuk penunggu ular sawa di Tasik Melati.

“Satu senja emak saya melintasi di tepi tasik itu sambil menyorong basikal kerana ia penuh dengan barang-barang.

“Sampai di rumah emak meracau-racau. Apabila di panggil dukun dia memberitahu emak melanggar ekor ular sawa dan selepas dukun minta maaf, barulah emak pulih,” katanya.

Darini yang tinggal di Batu 2 ½ Jalan Datuk Kayaman juga memberitahu, jika ada pasangan yang membuat kelakuan tidak senonoh di tasik itu, pasti tersesat sehingga tidak tahu jalan keluar.

“Pernah terjadi seoarang pencuri masuk ke kawasan tasik itu dengan barang-barang yang dicurinya. Akhirnya dia berpusing-pusing di kawasan tasik itu sehingga ditemui orang lalu di situ yang kemudian diserahkan kepada pihak polis cerita Darini ramah.

Kisah seram benar : Pengalaman penggali kubur


"Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii.. menung nampak? Kenapa?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.

"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah," saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.

Mari pergi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji, overtime dll. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.

"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.

Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.

Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal si mati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...

Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.

Eee.... seramnya. Macam mana agaknya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya ? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal'azim...

Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.

Pergi... pergi sekarang ! Johar, masa inilah kalau nak cuba . Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.

Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.

Cepat, cepat, cepat ! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi ? ' Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut ? Allah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati ...

Jadi bisu ? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!

Dimulai lafaz Bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah.

Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah, lailahaillallah, lailahaillallah...

Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh.

Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pernah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.

Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.

Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menyeberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.

Lailahaillallah

Lailahaillallah

Lailahaillallah

Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.

GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!

Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.

"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini ? " saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir.

GGGRRRRUUUMMM...

Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku..

Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.

ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK

Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.

AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!

Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.

Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba... PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.

PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!

Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah !

Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.

Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang amat dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga. Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala.

Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.

"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.

Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya.

"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.

Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.

Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.

Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.

"Johar... Johar !! " sayup-sayup nama saya dipanggil.

Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.

"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang.

Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.

Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.

"Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk.. Aku ambil air. Aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.

Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.

Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.

Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan, mimpi dan igauan semata-mata.

Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.

Cerita seram : Misteri lorong


Ashraf pada mulanya memang sukar untuk mempercayai cerita-cerita mengenai hantu, makhluk halus, ghaib dan sebagainya. Kadang-kadang dia membantah rakan-rakan apabila mereka bercerita tentang kisah-kisah pelik atau misteri. Bukan kerana dia takut tetapi kerana dia memang tidak mempercayainya.

Tetapi kejadian tiga bulan lalu mengubah pendirian Ashraf. Akhirnya dia terpaksa mengaku bahawa kisah-kisah seram, ghaib dan makhluk halus ini memang wujud di dunia ini. Memang kejadian itu begitu sukar untuk dia lupakan, bahkan masih segar dalam ingatannya.

Kejadian yang amat menakutkan itu berlaku di satu lorong sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat Ashraf bekerja. Sememangnya lorong sunyi itu menjadi laluan baginya setiap kali pulang dari tempat kerja. Ashraf sebenarnya sudah lama menggunakan lorong sunyi tersebut. Boleh dikatakan hampir empat tahun dia menggunakan lorong itu. Tidak pernah dia terserempak dengan sebarang makhluk ghaib atau aneh.

Selama ini rakan-rakannya galak menceritakan tentang ada orang yang berjumpa dengan puntianak, hantu raya, hantu bungkus dan sebagainya. Walaupun pelbagai cerita seram didengarinya, biarpun beratus nasihat telah diterimanya, namun Ashraf tetap berdegil untuk melalui lorong sunyi itu.

Sebenarnya Ashraf tidak mempunyai pilihan. Lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya, sama ada untuk ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Ashraf bekerja sebagai wartawan di sebuah syarikat penerbitan majalah. Disebabkan waktu kerjanya yang tidak tentu masa menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam disebabkan harus menyiapkan tugasan terlebih dahulu sehinggakan kadang kala menjangkau pukul dua pagi.

Dahulu laluan sunyi itu memang menjadi laluan ramai pekerja kilang kerana kawasan itu memang kawasan perindustrian. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ini, pekerja-pekerja kilang sudah jarang menggunakan lorong tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu puntianak dan makhluk halus yang menyerupai budak kecil.

Biarpun orang lain tidak berani menggunakan lorong sunyi itu, tetapi Ashraf tetap melaluinya. Sehinggalah pada suatu malam, selepas habis bekerja, Ashraf terus pulang ke rumah. Tetapi dalam perjalanan pulang sebelum sampai lorong sunyi itu, Ashraf singgah terlebih dahulu di warung mamak bersama dua orang rakannya, Sharil dan Muhaimin. Kerana asyik berborak, mereka bertiga terlupa hari sudah jauh malam.

Jam di tangan Ashraf sudah mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah malam Jumaat. Shahril dan Muhaimin tidak pulang melalui lorong sunyi itu. Walaupun diajak oleh Ashraf, Shahril dan Muhaimin tetap enggan melalui lorong tersebut. Tinggallah Ashraf seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak mempunyai pilihan lain. Kalau dia ikut jalan raya, sudah terlalu jauh untuk sampai ke rumahnya. Mahu tidak mahu, Ashraf terpaksa melalui lorong sunyi itu.

Dalam perjalanan pulang, hati Asharf tiba-tiba berdebar. Matanya menjeling kiri kanan lorong. Tiba di pertengahan lorong, dia tersentak. Wajah seorang wanita jelas kelihatan di hadapannya. Ashraf berhenti seketika. Hati dan perasaannya mula menggambarkan apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya. Tetapi Ashraf kuatkan semangat.

Ketika langkahnya semakin menghampiri wanita itu, hidungnya tiba-tiba ditampar bau wangi. Tidak pernah dia menghidu bau wangi sedemikian sepanjang dia melalui lorong tersebut. Tetapi kali ini dia menghidunya. Tidak mungkin wangian itu turun bersama embun pagi! Ashraf mula tertanya sendirian.

Segera Ashraf menutup hidungnya. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan wanita di hadapannya. Dia menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah dicepatkan. Semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu menusuk hidungnya.

Kala itu terlintas di fikirannya tentang cerita rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu kerana bau wangi itu adalah bau hantu raya! Teringat itu, Ashraf segera menahan nafas seketika untuk tidak menghidu bau wangi itu.

Degup jantungnya semakin kencang. Hatinya mula berdebar-debar. Tidak pernah dia mengalami peristiwa sebegini. Ashraf sudah dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar. Kini barulah Ashraf, tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang wujud.

Tiba-tiba Ashraf mendongak kepalanya. Entah tidak semena-mena, anak matanya mencuri jeling ke arah wanita itu. Dalam jelingan itu, Ashraf dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu. Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu.

Seluruh bulu roma Ashraf berdiri tegak. Langkahnya tiba-tiba terhenti, bagaikan dipegang sesuatu. Dia cuba melangkah tetapi tidak berdaya. Kakinya terasa begitu berat. Matanya terus terpandang wanita itu yang mula bertukar wajah. Bermula dengan wajah senyum, berubah menjadi bengis. Gigi yang tersusun cantik tiba-tiba bertukar tajam dengan susunan yang menyeramkan.

Rambut wanita itu mula mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah yang menakutkan, wanita itu menghampiri Ashraf. Dia cuba lari, tetapi kakinya seolah-olah terpijak gam. Serentak itu, dia terus menjerit sekuat hatinya, kemudian rebah menyembah bumi.

Keesokan paginya, Ashraf ditemui oleh seorang wanita tua yang kebetulan melalui lorong sunyi itu. Setelah mendapatkan bantuan, Ashraf akhirnya dihantar pulang dalam keadaan tubuhnya yang lemah. Melihat wajahnya yang kebiruan, nyata Ashraf sudah tidak bersemangat lagi.
Ashraf demam selama tiga hari dan menurut ibunya, Azizah, Ashraf sering kali meracau-racau dalam tidurnya terutamanya pada sekitar jam 1.00 atau 2.00 pagi. Akhirnya, untuk memulihkan kembali semangat Ashraf, ibunya memanggil seorang pakar perubatan tradisional.

Dengan izin Allah SWT, akhirnya dia berjaya dipulihkan biarpun terpaksa menunggu masa yang agak lama. Sejak peristiwa itu, barulah Ashraf sedar dan percaya apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakannya. Kini Ashraf juga sudah tidak lagi menggunakan lorong sunyi yang berpuaka itu!

Kisah Seram Jalan Lama Karak


Kisah Seram Jalan Lama Karak

Lebuhraya karak mula dibina pada 1970 dan mula dibuka kepada orang ramai pada 1977. Lebuhraya ini menghubungkan Kuala Lumpur dengan Karak dan jaraknya lebih kurang 60.0 km. Lebuhraya ini mempunyai sepasang terowong di kawasan peranginan terkenal iaitu Genting Highland.

1.Antara kemalangan yang paling popular adalah pada 20 Januari 1990, di mana 17 orang terbunuh termasuk 11 orang anggota FRU bilamana berlaku pertembungan diantara kenderaan FRU dengan sebuah lori, sebuah bas dan 10 biji kereta.

2.Kalau korang perasan dekat Genting Sempah (berdekatan perniaga lemang) Banyak Lori berenti pada waktu malam(tidur)..dikatakan tidak sah kalau tidur disitu tapi tidak kena “tegur”.

3.Volkswagen kuning..selalunya pemandu akan dikacau selepas terowong karak..dia akan potong kereta korang ,dan selepas itu dia akan bawa perlahan..ada yang kata jangan potong kereta kuning itu,kalau potong juga…..Dan apa yang menarik tentang Volkswagen kuning ini,seingat aku pada tahun 1998 masa itu aku diasrama tengah dengar radio Era (masa tu Era baru je wujud).Seorang pemanggil call Era dan cerita pasal Volkswagen kuning ni dari A sampai Z,dan bila deejay tu tanya mana tahu tentang cerita ini,pemanggil dari Jelapang(Perak) itu dengan selamba kata dialah pemandu kereta itu dan talian terus putus….

4.Kereta Misteri
KARAK – Penemuan sebuah kereta Kia Optima yang terbenam ke dalam selut dari ketinggian 100 meter di Kilometer 35.4 Lebuh Raya Karak, berhampiran terowong Genting Sempah menghala ke ibu negara kelmarin menimbulkan pelbagai misteri.Kereta berwarna perak itu dipercayai terjatuh dari Jalan Bentong Lama, Batu 18 di sini sebelum ia ditemui oleh penunda kereta, Wong Kam Wai, 31, pada pukul 3 petang.Namun Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sehingga semalam polis menolak wujudnya unsur jenayah atau kemalangan yang boleh dikaitkan dengan penemuan kereta itu.
“Kalau berlaku kemalangan, mesti pembahagi jalan sudah remuk seperti dilanggar.Jika ada jenayah mesti ada mangsa di sekitarnya,” kata beliau ketika dihubungi.Kereta Kia Optima yang berharga lebih RM100,000 itu ditemui ketika Kam Wai sedang menaikkan sebuah kereta Satria Neo yang terbabas di Kilometer 35.4 Lebuh Raya Karak.Dalam pada itu, satu sumber berkata, ketika ditemui kunci kenderaan ada pada kereta itu namun enjin tidak dihidupkan..
Bagaimanapun,usaha untuk mengangkat kereta ini tidak berjaya.Apabila di pertengahan, dua buah kembalik yang mengangkatnya tiba-tiba mengalami masalah mekanikal dan kerosakan pada sistem hidrolik.Ketika itu,kereta ini hanya beberapa meter sebelum sampai di tepi tembok lebuhraya. Ketika kembalik kedua membantu, ia turut menerima nasib sama apabila tiba-tiba mengalami masalah mekanikal pula.Akhirnya, kereta misteri ini terpaksa di”semadikan” semula di bawah jambatan tersebut!

Antara Kisah Di Jalan / Lebuh raya Karak

1.Seorang polis, satu hari naik motor ikut jalan lama ni….nak dijadikan cerita sampai satu kawasan tu,dia nampak banyak kereta paking tepi jalan,tapi yang peliknya kat situ gelap gelita,seorang manusia pun tak ada dan yang paling pelik,semua kereta yang paking tu jenis kereta lama tapi masih cantik…Apa lagi rempit la sambil pegang pistol sampai genting sempah(petronas).

2.Menurut cerita ramai juga yang ingin mengelak kesesakan lalu lintas ikut jalan lama karak(nak balik KL).Tetapi hampir 80% orang yang lalu disini bukan sahaja waktu malam,tengah hari siang buta pun akan berpatah balik..Sebab dah tak tahan menanggung seram!

3.Dalam satu cerita lain,pemandu bas di situ pernah bercerita pada satu malam selepas bas terakhir dari KL ke bentong lebih kurang pukul 9 mlm, dia telah mengambil penumpang di kawasan tersebut yang kebiasaanya sunyi..Seperti biasa kondaktor bas memberi tiket.Riuh rendah la dlm bas tu sebab ramai penumpang..Bila hampir sampai di Bentong penumpang-pemunpang turun di satu kawasan hutan@kampung….Sampai di stesen Bentong bila konduktor bas tu nak kira duit balik terkejut tengok dalam beg dia penuh dengan daun saja, mana perginya duit tadi?..

4.Pernah juga terbaca ,beberapa orang polis pernah terserempak dengan Rashid Maiden(Bekas ketua Komunis Pahang)bersembahyang berlapitkan daun pisang  ditepi jalan,tetapi mereka hanya tergamam melihat kelibat Rashid Maiden sehingga la selesai sembahyang..selepas itu..hilang..

5.mengikut cerita dan laporan akhbar, mangsa menghantar isterinya yang bekerja sebagaiManager McDonalds di Genting Sempah.Masa perjalanan pulang, si suami tetiba hilang di Jalan Lama Bentong- Gombak disyaki kemalangan di salah satu gaung. Si isterinya berjalan menyusuri jalan lama tu selama seminggu untuk mencari suaminya malangnya tak berjumpa.

Kemudian, dalam sebulan lepas tu orang asli dan pihak polis menjumpai  kereta si suami dalam gaung di KM 40 Bentong tetapi tiada pemandu di dalam.  dalam lebih kurang seratus meter dari kereta itu, mereka terjumpa tulang manusia yang lengkap berbaju Melayu tapi tiada langsung daging pada badan mangsa. Baju Melayu tu masih lagi elok, dan jika dikatakan mayat dimakan binatang liar, tiada sebarang kesan kecederaan dan tulang semuanya lengkap.

6.Tentang hantu yang makan orang ni pula berlaku pada era 80’an..si suami ni pergi mencari air kerana kereta dia “temperature”naik.Si isteri tunggu di dalam kereta,lama juga dia tunggu suaminya….lepas tu datang kereta peronda polis,si polis suruh isterinya keluar dari kereta  dan terus ke kereta polis dan polis tu cakap “jangan pandang belakang”..bila dengar polis cakap macam itu,si isteri ni terus pandang..Apa yang memeranjatkan ialah si suami ada dekat atas bumbung kereta dengan anggota  badannya hancur!

panas dan terhangat

Promosi

Koleksi

6 tanda-tanda rumah berhantu Cara melihat hantu dengan mudah Cara mengesan kewujudan hantu cerita benar: pengakuan seorang perogol cerita hantu : chatting di hostel Cerita hantu : Ditegur arwah cerita hantu : diusik penunggu rumah Cerita hantu dan seram: Hantu jerangkung Cerita hantu dan seram: Roh wanita di rumah sewa - Seksyen 7 cerita hantu seram misteri kampung Tanduo cerita hantu seram: Diganggu ketika bertugas malam cerita hantu seram: Tetamu malam Cerita hantu: Hantu Penanggal cerita hantu:hantu penanggal cerita hantu:hantu tali gantung cerita hantu:penunggu cerita misteri Cerita Misteri Seram : Kemanyan City Johor Bahru Cerita Misteri: Hantu di Jambatan Kg. Sungai Cengal Cerita seram : Misteri lorong Cerita seram : Sapaan jururawat cerita seram: bayi terkena badi cerita seram: diganggu hantu jepun cerita seram: diganggu syaitan Cerita seram: Jelmaan Tok Bidan bawa janin keliling kampung cerita seram: pontianak Cerita seram: Pramugari bersetubuh dengan hantu raya Cerita seram: Roh wanita dalam tandas cerita seram: teksi cerita seram: tetamu misteri cerita seram: toyol curi duit cerita seram:arwah ibu lawat anak cerita seram:kaki cari tubuh cerita seram:kepala atas kubur cerita seram:kepala berambut panjang cerita seram:langsuir cerita seram:menempah bilik cerita seram:misteri kematian polis cerita seram:pengalaman ngeri penggali kubur Gadis ghaib muncul di kubur jelmaan tiga gadis misteri di tasik melati Jenis-jenis hantu Kelantan Ketereh kisah cerita hantu dan seram di gunung pulai kisah cerita hantu dan seram di hospital putra jaya kisah cerita hantu dan seram di sebuah hotel di Ipoh kisah misteri lorong sunyi Kisah seram : Tengkorak terbang di Seri Alam Kisah seram benar : Pengalaman penggali kubur kisah seram di pantai kisah seram di pondok kebun pisang Kisah Seram Jalan Lama Karak Kisah seram: Asrama Kisah seram: Banglo lama di Taiping Kisah Seram: Hantu di UTP Mimpi seram: Arwah minta bersihkan darah bawah tikar Peluang pekerjaan secara Sambilan/ Part time : Tambah pendapatan anda hanya dari rumah Peluang pendapatan : Pekerja sambilan diperlukan Roh ibu mencari bayi Seram: Puaka di Genting Shah Alam video hantu dan seram 1 video hantu dan seram 2 video hantu dan seram 3