cerita seram: diganggu hantu jepun

Ketika ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh, hati Zaliah sudah berbunga bunga.  Seronoknya tidak dapat diluahkan dengan kata kata.  Sudah lama dia menyimpan hasrat untuk memasuki asrama dan belajar berdikari si rantau orang.

  Hari pertama masuk ke sekolah tersebut, Zaliah berasa tidak sedap hati.  Pertama kali dalam hidupnya terasa demikian, namun dia tidak mengendahkannya.  Mungkin kerana terlalu seronok, ujar Zaliah didalam hati.  Matanya meligas memandang bangunan asrama yang kelihatan agak usang.  Menurut teman temannya, sekolah itu dibina dikawasan bekas markas tentera jepun.  Pelbagai kisah misteri pernah dikaitkan dengan sekolah tersebut membuatkan Zaliah seram sejuk.

  Suatu malam ketika semua penghuni asrama telah lama diulit mimpi, secara tiba tiba Zaliah dikejutkan dengan suara orang berkawat dipadang sekolah.  Dia cuba untuk melelapkan mata, namun suara itu terlalu kuat hingga menggangu tidurnya.  Sambil memejamkan mata, Zaliah membebel bebel tidak puas hati, mengharapkan suara itu senyap.  Tapi suara itu tidak juga berhenti.

  Sambil mengosok gosok mata, Zaliah lantas bangun menuju tingkap yang menghala ke padang sekolah.  "Siapalah yang pagi pagi buta dah berkawad ni?" getusnya geram.  Dengan perlahan dia membuka cermin tingkap.  Matanya yang layu terkebil kebil memerhatikan suasana padang yang lengang.  Eh, suara bukan main kuat.  Tapi mana orangnya? Desis Zaliah didalam hati.  Puas dia mencari, namun hampa belaka.

  Suasana dingin tiba tiba mencengkam malam.  Zaliah mula merasa seram.  Fikirannya mencari cari alasan logik dari mana datangnya suara itu, namun dia buntu.  Angin malam yang tiba tiba menderu ke arahnya membuatkan Zaliah kalut.  Dengan pantas jemarinya segera menutup tingkap dihadapannya.

  Bila diamati suara itu, Zaliah dapat mendengar bait bait ayat yang dituturkan.  Namun dia gagal memahaminya kerana ia tidak dlam bahasa melayu mehupun inggeris, sebalinya bahasa jepun!  Tidak menunggu lama,  Zaliah bergegas ke katilnya.  Sambil berselebung, dia cuba untuk melelapkan mata.

  Apa yang menghairankannya, tidak ada seorang pun diantara rakan rakannya yang terjaga.  Walhal suara itu begitu kuat.  Malisa, Wati, Amnah, semuanya seolah olah telah dipukau.  Belum sempat tidur lena, tiba tiba tidurnya diganggu sekali lagi.  Kedengaran jelas dicuping telinganya bunyi orang berjalan diluar dorm sambil mengheret rantai besi, seolah olah mangsa tahanan yang telah dirantai kaki.

  Hati Zaliah mula berdebar debar.  Fikirannya mula menerawang teringatkan kata kata orang tentang sekolah itu.  Sekolah yang bertapak di kawasan bekas markas jepun itu dikatakan telah banyak kali 'memakan' mangsa, namun Zaliah tidak mengendahkan kata kata   mereka kerana terlalu ingin memasuki sekolah berasrama penuh.

  BElum hilang debaran yang mencengkam dadanya, tiba tiba Zaliah merasakan bunyi tapak kaki itu berhenti dihadapan pintu dormnya.  Serentak itu kedengaran pintu dorm dibuka orang.  Jelas diruang mata Zailah sesusuk tubuh besar setinggi pintu dorm berdiri dihadapan pintu.  Tubuh Zaliah menggigil menahan rasa takut.  Hampir hampir dia terjerit tatkala sesusuk tubuh itu malengkah masuk ke dorm sambil megheret rantai besi dikakinya.

  Sambil berselubung, Zaliah dapat melihat rupa lembaga itu yang sungguh mengerikan.  Matanya terjojol keluar, kulit tubuhnya yang terkoyak disana sini dan baunya yang cukup hanyir membuatkan Zaliah hampir termuntah.  Namun dia cuba bertahan.  Mulutnya terkumat kamit membaca ayat ayat suci al Quran dengan harapan lembaga itu tidak akan mengapa apa kannya.

  Semakin lama sesusuk tubuh yang berpakaian tentera inggeris lama itu semakin hampir dengan katilnya.  Serta merta bau busuk mula menyusuk hidung.  Hatinya tambah berdebar apabila melihat lembaga itu cuba menyentuh Malisa yang tidur disebelahnya.  Dia cuba untuk bersuara untuk megejutkan temannya itu, namun suaranya seolah olah tersekat dikerongkong.

  Zaliah menjadi benar benar tidak berdaya.  Badannya terasa lemah longlai.. Syurlah ketika itu hatinya masih dapat membaca ayat ayat al-Quran.  Berkali kali lembaga itu cuba menyentuh Malisa, namun tidak berjaya hinggahlah akhirnya ia hilang begitu saja.  Manakala Zaliah pula tiba tiba pengsan tidak sedarkan diri.

  Keesokan paginya, kecoh satu sekolah apabila Zaliah tidak sedar dari tidur.  Dia terus dikajarkan kehospital untuk mendapatkan rawatan.  Zaliah begaimanapun telah sedarkan diri lewat petang itu dan dibawa pulang ke kampung untuk berubat secara tradisional.

cerita hantu:hantu penanggal

Makcik Semah seperti mana lazim nya tiap-tiap pagi bangun awal dari tidur untuk bersiap-siap untuk pergi kerja menajak di sebuah estet yang jauhnya kira-kira 5 kilometer dari rumah beliau. Pada pagi itu Makcik Semah teragak-agak hendak keluar rumah sebab keadaan di luar rumah gelap lagi, sesekali terdengar bunyi kokokan ayam bersahut-sahutan ,jam dinding pula telah mati. Sekarang sudah pukul berapa pun Makcik Semah tak tahu.

  Hendak tak hendak Makcik Semah terpaksa juga keluar rumah berjalan menuju kesimpang jalan menunggu lori mengambil beliau bersama dua,tiga orang rakan seusia. Suasana sekeliling memang
gelap betul, Makcik Semah terpaksa berjalan berhati-hati takut kalau tersepak tunggul kayu. Setelah berjalan kira-kira 3 rantai dari rumah sampai la Makcik Semah di bawah pohon rambutan di simpang jalan. Makcik Semah melabuhkan punggung beliau di tunggul kayu sambil menanti rakan-rakan yang lain tiba.

  Lama jugak Makcik Semah menunggu,berdetik di hati Makcik Semah, kenapa la agaknya rakan-rakan beliau tak tiba lagi tak pernah mereka lambat. Dalam keadaan memikirkan hal rakan-rakan beliau tiba-tiba Makcik Semah terpandang cahaya yang memanjang di udara , berkerlipan mempunyai cahaya yang berwarna warni terbang diudara tingginya kira-kira setinggi pokok rambutan tempat Makcik Semah enanti rakan-rakannya. Bila di amat-amati baru la Makcik Semah
perasaan objek tersebut meyerupai kepala maknusia berambut panjang, dua biji cahaya merah tersebut ialah mata lembaga tersebut dan yg berjuntai memanjang seperti perut ayam, bercahaya berwarna-warni ialah usus perut lembaga tersebut tanpa tubuh.

  Makcik Semah terpaku tak terkata ,lesu seluruh anggota apa yang daya Makcik Semah lakukan hanya lah menanti lembaga tersebut hilang dari pandangan.
Kira-kira setengah jam kemudian baru la rakan-rakannya tiba. Apa yang berlaku tadi semuanya diceritakan kepada rakan-rakannya. Menurut rakan -rakan nya lembaga tersebut ialah Hantu Penanggal ia ialah kejadian dari seorang wanita yang menuntut ilmu hitam. Pada siang hari ianya akan menjadi manusia biasa dan pada malam hari kepala beliau akan bercerai dari badan berserta usus-usus perut keluar mencari darah,biasanya ia menghisap darah wanita yg keluar ketika bersalin. Kalau ketika itu tiada orang
bersalin ianya akan menghisap darah binatang ternakan seperti ayam.

  Rupa-rupanya Makcik Semah terawal satu jam menanti ,sebab itu rakan-rakan nya tiada . Sejak hari itu Makcik Semah tak berani lagi keluar rumah tanpa di temani anaknya.
Dan jam dinding di rumah beliau pun telah dibetulkan.

cerita hantu : diusik penunggu rumah

Along, Nora dan Ayu adalah sahabat karib. Mereka berkawan sejak di tahun pertama di salah sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota lagi. Kebetulan ketika mereka berada di tahun ke 3, mereka tidak dibenarkan tinggal di kampus lagi. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menyewa di luar. Setelah puas mencari rumah, akhirnya mereka bersepakat untuk menyewa sebuah rumah teres yang sudah lama tidak berpenghuni. Memandangkan sewa yang ditawarkan agak murah, tanpa berfikir panjang mereka terus bersetuju. Rumah teres itu dimiliki oleh seorang lelaki tua yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Atok Mok.

  Kali pertama berjumpa dengan Atok Mok ketika menyerahkan wang deposit, mereka sangat terkejut. Wajah orang tua itu amat menakutkan mereka . Keningnya hitam lebat, air mukanya sangat garang dan matanya sentiasa meliar ke sana ke sini serta berwarna merah. Mujur juga orang tua itu cepat mengundur diri. Namun matanya tidak berkedip memandang Ayu!

  Setelah sebulan menyewa di rumah itu, mereka dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan rumah itu. Setiap kali malam jumaat mereka dapat menghidu bau wangi Ada ketikanya mereka ternampak seperti kelibat Atok Mok di dalam rumah itu. Lebih meyakinkan lagi, Along dan Nora melihat sendiri Atok Mok sedang tidur bersama Ayu di bilik tidurnya. Keesokan pagi, Along dan Nora terus menceritakan segala yang dilihat malam tadi kepada Ayu dan dia kelihatan sungguh terperanjat, sedangkan pada hari tersebut dia tidak pulang ke rumah. Lagipun jika difikirkan secara logik, buat apa dia benarkan Atok Mok tidur bersamanya ? Keadaan menjadi bertambah rumit apabila Ayu mendapati ada kesan lebam dan calar-calar di badannya.

  Sementara berusaha mencari rumah sewa yang lain, baik Along, Nora dan Ayu, masing-masing tidak berani lagi duduk sendirian di rumah, jika Along atau Nora pulang lewat, Ayu sanggup menunggu mereka di depan pagar rumah. Untuk masuk bersendirian ke dalam rumah, tidak sama sekali. Di saat itu tiba-tiba sahaja bulu roma Ayu meremang. Kemudian pantas sahaja kakinya melangkah ke dalam rumah.

  Malam itu sedang mereka tidur nyenyak tiba-tiba sahaja Ayu menjerit dan mengilai. Seluruh tubuhnya menjadi kejang dan matanya merenung tajam ke arah Along dan Nora. Rambut Ayu yang panjang mengerbang. Kedua sahabat itu tidak berani memandang muka dan mata Ayu yang sudah mula merah. Selepas di bacakan ayat-ayat suci Al-Quran keadaan Ayu agak kurang sedikit. Tetapi selepas beberapa minit kemudian keadaan Ayu kembali teruk. Apabila melihat Ayu cuba melarikan diri keluar rumah, Along dan Nora terus memegang kedua belah tangan dan kakinya. Namun, kekuatan yang dimiliki oleh Ayu amat luar biasa. Along dan Nora terpelanting di terajang oleh Ayu. Setahu mereka Ayu tidak pernah berkelakuan ganjil, cuma sejak berpindah ke situ dia lebih suka mengasingkan dirinya.

  Biarpun kedudukan rumah mereka agak jauh namun jeritan kuat Along dan Nora telah didengari oleh penghuni yang tinggal tidak jauh dari situ. Masing-masing bergegas keluar memberikan pertolongan. Kebetulan pula salah seorang dari mereka iaitu Pak Wahab, mengetahui misteri di sebalik rumah teres yang sudah lama tidak berpenghuni itu. Namun dia enggan bercerita dengan lebih panjang. Seolah-olah dia tidak mahu merungkaikan rahsia rumah besar itu. Walaubagaimanapun dia banyak membantu memulihkan Ayu. "kalau macam ni caranya, lebih baik kau orang berpindah saja dari sini. Nanti pakcik tolong carikan rumah. Nampaknya "dia" masih taknak lepaskan rumah ini". Kata-kata Pak Hussin mengandungi seribu persoalan.

  Sehingga jam 4 pagi, barulah jeritan Ayu reda sepenuhnya, itupun setelah di jampi serapah dengan ayat suci Al-Quran oleh Pak Wahab. Tidak lama selepas itu barulah Ayu sedar dan mula mengucap. Apabila Ayu sedar, dia segera memeluk Along dan Nora. Rupa-rupanya dia terasa dirinya cuba dipeluk oleh satu lembaga yang menyerupai Atok Mok.

  Selepas peristiwa ngeri malam itu, tanpa berlengah lagi mereka terus mengambil keputusan untuk berpindah rumah. Peristiwa ini mengajar mereka untuk lebih berhati-hati apabila memilih rumah sewa. Sejarah atau latarbelakang pemilik rumah perlu kita selidik terlebih dahulu sebelum mengambil kepututsan untuk menetap. Dari siasatan mereka, rupa-rupanya Atok Mok sudah lama meninggal dunia dengan membunuh diri bila isteri mudanya melarikan diri bersama lelaki lain. Namun rohnya tetap mendiami rumah itu dan kebetulan Ayu mirip isterinya dahulu

cerita seram:kaki cari tubuh

Sudah 15 hari Hashim dikebumikan selepas maut dalam satu kemalangan di simpang 3. Namun kesedihan Zaoyah masih belum reda. Kematian suami tersayang membuatkan Zaoyah bagaikan helang kepatahan sayap. Tempat bergantung juga sudah tiada, tempat bermanja jauh sekali.


Zaoyah masih ingat ketika pagi kejadian, dia masih di dapur apabila Hashim memberitahu dia terpaksa ke tempat kerja lebih awal pagi ini. Zaoyah hanya sempat membancuh milo, tetapi sarapan masih terjerang di atas dapur.

"Tunggu sambal tumis masak sekejap bang," ujar Zaoyah sambil menghidangkan nasi lemak yang masih berasap.

"Tak apalah Yah, tengahari nanti abang balik, abang makanlah nasi lemak tu," ujar Hashim. Dia kelihatan begitu tergesa-gesa. Topi keledar dicapainya dan terus disarung ke kepala. Stokin dan kasut dipakai secepat kilat dan Hashim terus menuju ke tempat letak motorsikalnya.

Sebaik sahaja Hashim pergi, Zaoyah menutup semula makanan di atas meja. Rengekan Azril, anak bongsunya segera menarik perhatiannya. Zaoyah mematikan api dapur dan terus ke bilik. Azril sudahpun bangun tetapi tangisannya sangat luar biasa dari hari-hari sebelumnya.

Zaoyah hairan. Dia merasa seluruh tubuh Azril. Tidak pula panas kalau nak dikatakan demam. Zaoyah memujuk Azril sambil menggantikan lampin. Kemudian mendukung anaknya ke dapur. Zaoyah menyuapkan telur rebus ke mulut Azril tetapi anak kecil itu menolak. Zaoyah hairan. Anaknya tidak pernah begitu sebelum ini. Jam sebelas pagi baharulah Azril berhenti menangis. Selepas menyusu Zaoyah menidurkan Azril di dalam biliknya.

Sedang Zaoyah memanaskan lauk di dapur, tiba-tiba perasaannya menjadi tidak enak. Apabila terpandang nasi lemak Hashim di meja, perasaannya menjadi semakin tidak menentu. Deringan telefon membuatkan Zaoyah tersentak. Dia segera menjawab panggilan di ruang tamu.

"Ya Allah...abang..," tiba-tiba Zaoyah menjerit sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan. Hashim terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Pandangan Zaoyah kelam, dia rebah tanpa meletakkan gagang telefon di tempatnya. Mujurlah jeritannya di dengar Pak Busu yang sedang mengayuh basikal melintasi halaman rumah Zaoyah. Pak Busu segera memanggil jiran-jiran wanita untuk membantu Zaoyah. Zaoyah hanya tersedar apabila jenazah Hashim sampai selepas Zuhur di rumahnya.

"Yah, kalau nak tengok muka Hashim buat kali terakhir, tengoklah. Tok dah buka kapan di mukanya," ujar Tok Imam. Zaoyah merenung mayat Hashim yang sudah dimandi dan dikapankan oleh pihak hospital. Bagai tidak terdaya Zaoyah hendak menatap wajah suami tercinta. Terkilan hatinya kerana Hashim tidak sempat menjamah nasi lemak kegemarannya pagi tadi.

Walaupun sudah 2 minggu berlalu, Zaoyah masih menangisi kematian Hashim. Adik-beradik dan sanak saudara sudah pulang ke rumah masing seorang demi seorang. Seperti malam-malam yang lalu, Zaoyah gagal melelapkan matanya. Kenangan dan ingatannya hanya kepada Hashim. Setiap kali rindunya memuncak dia akan membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas, lalu dihadiahkan kepada allahyarham. Hanya itulah ubat yang mampu menenangkan jiwanya. Kalau dia tidur pun, hanya tidur-tidur ayam. Sering dia terjaga di tengah malam dan pasti tidak mampu terlena lagi hingga ke pagi.

Malam itu Zaoyah gagal melelapkan matanya lagi. Walaupun kokok ayam yang pertama sudah kedengaran, matanya tidak mengantuk sedikitpun. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tapak kaki menapak di lantai rumahnya. Zaoyah terkejut. Tak mungkin anak sulungnya Shahril bangun tengah-tengah malam. Shahril tak pernah bangun tengah malam sebelum ini. Zaoyah dapat mendengar bunyi tapak kaki yang mundar mandir ke hulu ke hilir. Tetapi kedengarannya seperti bukan berjalan, tetapi melompat setapak-setapak.

"Kucing agaknya," bisik hati Zaoyah. Dia membiarkan bunyi tapak kaki itu menghilang. Ketika azan Subuh berkumandang. Zaoyah segera bangun dan menunaikan solat Subuh. Ketika remang Subuh mendatang, Zaoyah segera menjerang air dan mengejutkan Shahril untuk ke sekolah. Zaoyah segera mengenepikan perasaan sedihnya jauh-jauh apabila berdepan dengan anak-anak.

"Sekolah pandai-pandai Ril, abah kau dah tak ada. Kaulah ganti abah nak jaga mak bila tua nanti, nak tolong mak besarkan adik," pesan Zaoyah kepada Shahril yang sedang menikmati minum paginya. Shahril segera mengambil beg sekolahnya dan keluar memakai kasut. Belumpun Shahril duduk, dia terpandang bekas tapak kaki di atas papan tangga menuju ke rumah. Kemudian di atas lantai menghala ke dapur dan ke bilik Zaoyah.

"Mak! tapak kaki siapa ni mak?" jerit Shahril. Zaoyah bergegas mendapatkan anaknya. Dia juga hairan melihat bekas tapak kaki berlumpur di atas lantai. Zaoyah segera teringat apa yang didengarnya malam tadi. Mungkinkah ada orang naik ke rumahnya malam tadi. Tapi siapa?

Perasaan Zaoyah jadi tidak menentu. Ini mesti ada orang yang berniat tidak baik terhadapnya. Baru tiga minggu dia menjanda,sudah adakah lelaki yang menaruh hati kepadanya?

Zaoyah segera membersihkan kesan tapak kaki di atas lantai tersebut. Sambil hatinya berdoa, janganlah ada apa-apa musibah yang menimpa dia dengan anak-anak. Malam itu Zaoyah memastikan semua pintu dan tingkap rumahnya berkunci dan bermangga. Kalau ada orang yang nak buat jahat pun, mereka tentu akan mengambil masa untuk membuka pintu dan tingkap rumahnya.

Tetapi malam itu sekali lagi Zaoyah dikejutkan oleh bunyi yang sama. Zaoyah sengaja mengajak Shahril tidur bersama di biliknya. Shahril dan Azril tidur di atas katil sedang Zaoyah tidur di atas tilam yang terhampar di atas lantai. Zaoyah bingkas bangun sebaik sahaja mendengar bunyi tapak kaki tersebut. Dia mengintai dari pintu biliknya, siapa agaknya yang berani naik ke rumahnya. Tetapi alangkah terkejutnya Zaoyah apabila melihat sekerat kaki dari betis ke bawah sedang menapak di atas lantai rumahnya. Zaoyah mengamati kaki tersebut. Dia terkaku melihat kaki tersebut terlompat-lompat mundar mandir di ruang tamu rumah. Tiba-tiba Zaoyah teringat sesuatu.

"Ya Allah, abang Hashim..." bisik Zaoyah apabila mengenali kaki itu adalah milik suaminya. Serentak dengan itu kaki tersebut hilang dari pandangan. Zaoyah bagai bari tersedar dari mimpi. Serentak itu juga tubuh Zaoyah disimbahi peluh dingin dan sejuk. Zaoyah tidak berani hendak keluar dari biliknya. Malah keesokan paginya, dia menunggu sekeliling cerah lebih dahulu baharu dia mengejutkan Shahril. Shahril tidak diberitahu apa yang berlaku. Malah ketika Shahril mengadu tentang tapak kaki tersebut, Zaoyah cuma meminta Shahril supaya tidak mempedulikannya.

Petang itu Tok Imam datang ke rumah Zaoyah. Dia hendak melihat sendiri bekas tapak kaki yang dikatakan oleh Zaoyah. Zaoyah ke rumah Pak Imam untuk meminta pandangan mengenai tapak kaki dan kaki Hashim yang dilihatnya.

"Memang saya nampak kaki dia Tok," ujar Zaoyah sedih. "Apa alamatnya tu Tok?" soalnya lagi. Tok Imam memikir-mikir sebentar.

"Ada yang tak kena ni Yah", ujar Tok Imam. Zaoyah tidak faham apa yang dikatakan oleh Tok Imam. Keesokan harinya, Tok Imam mengajak beberapa orang kampung ke tempat Hashim di tempat kemalangan. Tok Imam sendiri mencari di kawasan kemalangan sambil diperhatikan oleh orang-orang kampung yang lain.

"Subhanallah," tiba-tiba Tok Imam bersuara lantang. Orang-orang kampung segera menghampiri Tok Imam. Mereka terkejut apabila melihat sebelah kaki Hashim terlindung di sebalik daun-daun keladi di dalam selut.

"Kau ambik benda ni, bawa ke masjid. Kaki ni kita kena mandikan dan kapankan. Lepas tu kita kena kebumikan," ujar Tok Imam. Zaoyah terkejut apabila diberitahu penemuan kaki Hashim di dalam semak di tempat kemalangan.

"Mungkin yang datang tu roh dia, minta disempurnakan. Itu sahaja yang Tok boleh katakan. Wallahualam," ujar Tok Imam ketika Zaoyah bertanya mengapa dia melihat kaki Hashim berjalan di dalam rumah.

Selepas kaki Hashim dikebumikan, Zaoyah tidak mendengar lagi bunyi orang berjalan di dalam rumahnya. 

cerita seram: teksi

Pengalaman seram yang tidak mudah saya lupakan ini berlaku 12 tahun yang lalu dan sukar dipercayai.  Tetapi ia adalah suatu kejadian yang benar benar saya alami semasa baru sebulan saya berpindah ke blok 13, Eunos Crescent.  Ketika itu kawasan tersebut belum membangun pesat seperti sekarang.

  Waktu itu selepas maghrib, saya bersama kakak yang memandu kereta dalam perjalanan pulang dari membeli pakaian kumpulan nasyid Alsyahidah kami.

  Setibanya dipersimpangan Bedok/Chai Chee, kereta kami tiba tiba membuat ragam.  Apalah daya kami sebagai wanita untuk membaikinya.  Saya terus berlari mencari telefon awam untuk menghubungi abang saya untuk mendapat bantuan.  Malangnya beliau berkerja shift malam hari itu.  Kakak terus membuat keputusan meninggalkan keretanya ditepi jalan sahaja, menantikan hari esok.

  Kami terus berjalan perlahan lahan disepanjang Bedok/Chai Chee sambil melihat lihat kalau kalau ada teksi kosong.  Setelah penat berjalan kami terus berhenti mengharapkan kedatangan teksi.  Yang menghairankan, hampir satu jam kami menunggu, tak sebuah teksi pun kelihatan.

  Dalam keadaan bosan menunggu, tiba tiba entah dari mana, muncul sebuah teksi yang berhenti betul betul dihadapan kami sedangkan saya tidak pun menahannya.  Tanpa berlengah kami terus menaikinya sambilo mengucapkan rasa syukur.

  Dalam teksi entah mengapa terlalu banyak cerita yang kami bualkan sehinggakan kami tidak sedar masa berjalan.  Setelah saya melihat jam ditangan, barulah saya sedar hampir satu jam kami berada dalam teksi berkenaan dan masih belum tiba ketempat tujuan kami, sedangkan perjalanan dari bedok/chai chee ke eunos crescent hanya memakan masa kurang dari 20 minit sahaja.

  Saya segera mencuit kakak saya bertanyakan akan keganjilan yang kami rasakan dan tempat yang dilalui benar benar tidak kami kenali langsung.  Kakak memberi isyarat menyuruh membaca apa sahaja ayat al-quran yang kami tahu.  Terkumat kamit mulut kami.

  Sempat jugak saya bertanya,"Apek kami nak ke Eunos Crescent! Lu bawak kemana ni?"  Apek tadi hanya menganggukkan kepalanya.

  Bertambah gementar saya seperti hendak menangis rasanya saya.  Kami cekalkan hati, terus membaca apa saja ayat ayat yang kami ingat.

  Tiba tiba, kami seperti keluar daripada dunia lain.  Teksi tadi terus membelok ke Eunos Crescent.  Tanpa perlu kami memberitahu pemandunya, teksi itu terus berhenti betuk betuk dihadapan blok kami. 

  Tanpa berlengah, kakak saya yang duduk ditepi pintu, seperti terjun sahaja dari teksi dan saya terus menghulurkan wang $10 kepada pemandunya.

  Waktu saya menghulurkan wang, alangkah terperanjatnya saya apabila mmenyedari pemandu teksi tersebut adalah seorang tua yang benar benar sudah lanjut usianya.  Kelihatan sejuta kedutan ditangannya.  Sayangnya saya tidak dapat melihat langsung wajahnya.  Dia seperti cuba memalingkan mukannya ke arah lain.

  Tanpa bersuara, pemandu itu menolak wang pemberian saya dengan isyarat.  Dalam ketakutan dan kehairanan, terdengar kakak sya menyuruh saya turun dari teksi waktu itu dengan segera.  Saya, yang dari tadi terasa seperti terpaku, terus turun dari teksi tersebut tanpa menutp pintunya kembali.

  Alangkah terperanjatnya kami, kerana hanya beberapa tapak sja kami melangkah apabila kami menoleh, teksi sudah tidak kelihatan lagi. 

  Menurut penerangan kakak saya, sewaktu turun dari taksi tadi, dia terperanjay apabila menyedari sebenarnya kami bukanlah menaiki teksi, tetapi sebuah kereta yang usang pada pandangannya,  Waktu itu saya melihat jam tangan hampir puku; 11.30 malam.

  Alanhkah anehnya, perjalanan dari bedok/chai chee ke eunos crescent mangambil masa tiga jam.

cerita seram:arwah ibu lawat anak

isah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.


Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung. Ustaz," kata wanita itu. "Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. "Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya. "Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih." "Makcik lihatlah betul-betul." kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya. "Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu."Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. " kata saya untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik. Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya berkata, "Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."


Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya,tuturannya serta pakaiannya. "Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!" Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.


Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun? 

cerita seram: diganggu syaitan

HATI saya mula rungsing. Mayat yang sedang saya mandikan menyebabkan bulu roma saya tegak, seram, seluruh badan berasa hangat serta tidak tenteram.
Bukanlah keadaan mayat yang cuma separuh sahaja itu yang sebabkan saya rasa seram, tapi ada sesuatu yang lain yang saya rasakan ada bersama-sama kami, yang mengganggu kami. Keadaan mayat tersebut memang mengerikan sebab cuma bahagian pinggang kebawah saja yang saya dan kawan-kawan saya uruskan. Mayat yang dalam lingkungan umur 30-an itu dijumpai terapung di dalam laut selepas beberapa hari dicampak ke situ. Baunya memang busuk.
Walaupun demikian sekali rupa mayat tersebut, namun ia tidak menyeramkan saya. Sudah bermacam-macam mayat yang pernah saya uruskan yang lebih dahsyat dan lebih ngeri daripada itu. Tapi mayat yang ini lain macam sedikit.
Semasa memandikan jenazah itu bulu roma saya terus tegak. Tapi saya uruskan juga sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran, khususnya ayat kursi, terus saya baca. Berdasarkan pengalaman lepas-lepas, jika begitu perasaan yang saya alami, maknanya jenazah yang saya uruskan bukanlah dari kalangan mereka yang dicintai Allah.
Apabila sudah selesai menguruskannya, kami hantar jenazah tersebut ke kawasan perkuburan.
"Encik, jangan kebumikan dulu jenazah ini, sehingga saya datang ke sini semula," pesan saya kepada penggali kubur. Saya tidak dapat turut serta kerana saya perlu menghantar dahulu juruurus jenazah wanita yang dipanggil satu jenazah.
"Insya-Allah," jawab penggali kubur tersebut. Saya tinggalkan dia tanpa memberitahu kepadanya bahawa mayat tersebut bermasalah. Bagi saya ini perkara aib, tak perlulah saya jelaskan kepadanya.
Selepas menghantar juruurus jenazah wanita, saya balik ke kawasan perkuburan tersebut. Hajatnya untuk sama-sama mengebumikan jenazah berkenaan, namun apaliba tiba di kuburnya, saya tengok ia sudah dikebumikan.
"Tak apalah ustaz. Saya dah kebumikan. Dah selesai," kata penggali kubur tersebut.
"Alhamdulillah. Tak apalah, saya balik dulu."
Namun apabila masuk sahaja ke dalam kereta, saya rasa seperti ada sesuatu yang mengekori. Seolah-olahnya mayat itu ada dalam kereta untuk mengikut saya pulang ke rumah. Perasaan seram kembali semula. Dengan serba sedikit ilmu yang saya tahu, saya cuba halau ‘benda’ itu. Namun saya tahu saya gagal dan ia mengekori hingga ke rumah kerana pada malam itu saya berperang dengannya.
Kira-kira pukul 11 malam, ketika kami sekeluarga hendak tidur, saya mula rasa lain macam. Isteri dan anak saya juga gelisah seperti ada sesuatu yang menggangguperasaan mereka. Perasaan seram kembali datang. Bulu roma saya meremang.
Satu demi satu ayat saya baca dan kemudian hembuskan hingga syaitan itu pergi meninggalkan saya. Biasanya saya gunakan surah al-Fatihah, tiga Qul, ayat Qursi, amanarrasul dan satu ayat lain yang terakhir. Alhamdulillah saya berjaya, tapi tidak lama kemudian, gangguan itu datang kembali. Sekali lagi saya bacakan ayat-ayat tertentu dan hembuskan ke arahnya. Untuk sementara waktu, ia lari meninggalkan saya.
Rupa-rupanya gangguan itu cumalah permulaan. Semakin larut malam, tindakannya semakin agresif. Apabila saya mula hendak melelapkan mata, ia kembali semula dan mencucuk tubuh saya. Saya tersentak dan tidak jadi tidur. Saya lihat sekeliling, tapi tiada apa yang saya nampak kecuali gelap. Saya baca ayat-ayat tertentu dan gangguan itu berhenti seketika.
Memikirkan gangguan itu sudah berakhir, saya cuba melelapkan mata. Namun apabila saya hampir terlena, ia datang semula dan mencucuk pusat saya. Sekali lagi tersentak. Begitulah yang berlaku seterusnya. Punggung dan badan saya dicucuk apabila hendak melelapkan mata. Setelah hampir sejam diganggu, akhirnya gangguan itu terus berhenti. Saya tidur tanpa sebarang gangguan lagi.
Alhamdulillah, itulah sekali saya diganggu oleh syaitan daripada mayat berkenaan.
Telahan saya bahawa gangguan tersebut berpunca daripada mayat yang saya uruskan pada siang harinya memang berasas. Sebabnya ialah tidak berapa lama kemudian saya mendapat berita bahawa penggali kubur itu telah sakit selama sebulan. Sejak mengebumikan mayat tersebut, hidup penggali kubur itu mula tidak tenteram kerana diekori oleh ‘mayat’ berkenaan. Apabila dia masuk saja ke pejabat, dilihatnya mayat itu berada di dalam pejabatnya. Apabila dia masuk bilik mandi, di situ juga ada mayat.
Pendeknya ke mana sahaja dia pergi, di bilik tidur, di ruang tamu, di bawah pokok atau di mana sekalipun, pasti dia akan ternampak mayat itu. Akibatnya dia sakit selama sebulan dan meracau yang bukan-bukan. Selepas puas berubat, akhirnya dia sembuh seperti sedia kala.
Mungkin ada yang mengatakan cerita saya ini karut, atau sengaja direka, tapi percayalah, ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, alhamdulillah, kejadian itu memberi iktibar yang besar kepada saya.
Dari segi syarak, gangguan yang kami alami itu dilakukan oleh iblis menyerupai mayat untuk menakutkan kita supaya kita berhenti daripada menguruskan jenazah. Gangguan seperti ini jangan dilayan kerana menguruskan jenazah adalah ibadah.
Saya yakin gangguan yang kami lalui berpunca daripada ilmu hitam yang diamalkan oleh lelaki tersebut. Menurut pendapat sesetengah orang, gangguan seperti itu berlaku kerana lelaki berkenaan membela jin dan syaitan untuk dijadikan khadam melindunginya.
Bagi yang menuntut ilmu kebal, salah satu cara untuk membunuhnya ialah dengan membuang separuh mayatnya ke dalam sungai atau laut dan separuh lagi dibuang di darat. Itulah syaratnya kerana kalau kedua-dua bahagian tubuh itu dibuang di darat, atau kedua-duanya dibuang ke dalam air, ia akan bercantum dan mayat tersebut akan hidup semula. Itulah cerita yang saya dengar, betul atau tidak wallahuaklam.
Nasihat saya, janganlah dituntut ilmu yang bukan-bukan, yang bersahabat dengan syaitan. Dalam syarak, apa ilmu kita tuntut pun kita tak boleh kebal. Malah nabi yang hafaz al-Quran, rasul, tapi dia juga cedera semasa perang. Sebenarnya kita bukannya kebal, tapi dilindungi oleh jin.

cerita hantu:penunggu

Kisah ini terjadi lebih kurang 23 tahun yang lalu. Walaupun kisah ini telah lama berlalu
tetapi tetap segar dalam ingatan aku. Semasa kejadian itu berlaku, aku masih bekerja di salah sebuah kilang di kampung aku, kilang ini didirikan di kawasan kebun, tetapi kawasan ni telah dimajukan untuk kawasan perkilangan. Dahulunya tanah ini adalah milik persendirian.

Pada suatu petang, lebih kurang pukul 5 seperti biasa pekerja-pekerja akan bergegas untuk pulang. Tapi pada hari tersebut agak kelam kabut kerana mengejarkan rancangan kegemaran dekat tv iaitu cerita jepun, aku pun dah lupa tajuk cerita tu. Memang cerita tu menjadi kegemaran ramai ketika itu. Dalam keadaan yang agak tergesa-gesa tu
adalah sorang minah ni terjatuh tah mana silapnya aku pun tak tau, terlanggar batu kot. Kepala minah tu terkena dekat pagar, kepalanya berdarah dan darahnya tu pulak boleh tahan jugak banyaknya mungkin kena tang urat kot aku pun tak pasti, habis merah lantai kat situ dengan kesan darahnya. Keesokan harinya, minah yang terlanggar pagar tu pegi keje, heran jugak aku takkan tak cuti, tengok pada dia yang luka tu dah nampak elok, emmm camne boleh kejap sangat elok tak tau lah, masa tu dah tengahhari kalau tak silap aku, minah yang terlanggar pagar tu tetiba menjerit-jerit macam orang kena histeria. Lama jugak dia macam tu kelam kabut jugak, orang lain ingat minah ni ada problem agaknya, kesian jugak sampai menarik-narik rambut sendiri. Pengurus kilang terpaksa menghantar minah tu pulang.

Pada keesokkan harinya pulak, kejadian menjerit-jerit ni berlaku lagi tapi pada orang lain pulak lepas sorang reda kena pada orang lain pulak. Macam pesta pulak, ada yang mengilai, ada yang menjerit, ada yang ketawa, seram pulak aku tengok perangai masing-masing nasib baik aku tak kena. Kejadian ni pulak berlarutan hampir setengah bulan, ramai yang berhenti kerja sebab takut. Kalau nak ke tandas pulak nak kena berteman, yelah takut terkunci dengan sendiri sebab pernah terjadi kat aku sebelum ni, nasib baik tak jumpa apa-apa, melaung-laung jugak la aku kat dalam tu mujur ada orang yang dengar.

Setelah diselidik rupanya ada sebab apa yang telah berlaku. Cerita ini diceritakan sendiri oleh pak guard kat tempat aku bekerja tu. Dia ada melihat satu lembaga putih terbang dari pokok saga di depan kilang dan terus menjilat pada kesan darah minah yang terlanggar pagar tu. Dan pak guard tu cerita, dulu tempat ni kebun milik seorang yang kaya kat kampung ni dan dia takut hartanya di ceroboh maka dia telah menanam tengkorak di setiap penjuru kebunnya sebagai guard la tu kot. Dan bila orang tu meninggal lupa pulak dia nak halau guard dia tu, sampai la kilang tu didirikan kat situ, kira marah la penunggu tu agaknya. Konon-kononnya lembaga tu mengamukla, mengamuk kerana apa pak guard tu pun tak berapa pasti. Tapi yang pastinya semenjak dari itu lah kejadian histeria tu terjadi. Pihak atasan tidak berapa percaya dengan perkara ni. Budak-budak yang terkena histeria tu ada cerita katanya dada mereka seolah-olah dipukul dengan kepala-kepala tengkorak tanpa henti, tu yang menjerit-jerit tu.

Dan untuk menghalau penunggu tu kata sepakat telah dibuat, maka diadakan "samak" entah apa samak tu pun aku pun tak tau. Dipanggilnya bomoh tak mana-mana punya bomoh nak halau hantu tu. Entah apa yang bomoh tu meraban aku pun tak tau, selepas daripada itu kilang aku tu pun kembali aman. Lebih kurang tu la citenye, tapi banyak yang khurafat.... tak taulah aku setakat mana kesahihan kejadian yang sebenar. 

cerita seram: pontianak

Pengalaman ini aku lalui bersama tiga orang sahabat baikku, Azhar, Asyraf dan Halim sewaktu kami berada di Melaka. Ketika itu kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan STPM. Kami rasa seolah-olah baru merdeka. Dengan itu, kami bertiga buat rancangan ronda seluruh semenanjung Malaysia. Kebenaran ibu bapa sudah kami perolehi, lesen kereta aku dan Asyraf dah ada. Apa lagiiii... raya sakanlah nampaknya!

Perjalanan berkereta dari Johor Bahru tidak begitu membosankan memandangkan kami sepakat untuk tidak melalui lebuhraya. Kami bertolak pagi lagi. Destinasi pertama kami ialah Muar. Kebetulan pula, musim durian sedang 'menjadi', maka kami tak lepaskan peluang, lahap sepuas-puasnya. Sebelum tu singgah Batu Pahat sekajap, jumpa member, Rin.

Kami teruskan perjalanan ke Melaka, dan bercadang untuk bermalam di Taman Rekreasi Ayer Keroh. Sebelum itu kami singgah di Umbai, makan ikan bakar. Azhar yang memang kuat makan berjaya menghabiskan tiga ekor ikan bawal bersaiz sederhana dan empat ekor ketam besar.

Selepas makan, kami berehat mengambil angin di pantai Kelebang. Satu masa dulu, aku ingat lagi, sewaktu kecil aku selalu ke sini dengan abangku. Tapi sekarang, nampaknya pantai ini tak meriah lagi. Banyak sampai tersadai di sana sini. Apa boleh buat...

Jam dah hampir menunjukkan pukul 11:00 malam. Oleh kerana agak keletihan, kami ubah rancangan. Kami batalkan rancangan bermalam di Taman Rekreasi. Sebaliknya, kami sewa bilik di Ayer Keroh Country Village, bersebelahan Mini Malaysia. Mini Malaysia ni pun dah tak semeriah dulu... takde orang pun datang. Aku pun tak tahu kenapa. Arghhh... peduli apa semua tu. Aku nak tidur. Esok nak bangun, nak jalan lagi...

Keesokannya, aku bangun paling lambat. Dia orang ni, bangun awal pun bukannya boleh harap. Aku jugak yang ditugaskan pergi cari sesuatu yang boleh dibuat sarapan. Takpe laa... lagipun memang aku yang pandu kereta. Lepas mandi, aku keluar beli roti canai di Taman Muzaffar Syah, dekat dengan kawasan tu. Roti canai? Huh! Roti canai mamak tu jual rasa macam kulit tapak kaki ada laa... liat nak mampus!

Aktiviti selanjutnya... mandi kolam sampai tengahari sebelum kami check-out. Perjalanan untuk ke destinasi selanjutnya ditangguhkan. Kami ambil keputusan untuk terus berada di Melaka hari ni. Lagipun aku nak jugak singgah di rumah mak angkat aku kat sini.

Lepas meronda ke sana sini, kami menghala pula ke lebuhraya. Asyraf yang memandu mengambil keputusan untuk menggunakan lebuhraya, kerana dia ni rabun malam. Susah sikit kalau ikut jalan lama. Azhar pulak tiba-tiba nak terkencing. Dah alang-alang berhenti, kami pun lepak seketika. Jam dah menunjukkan lebih kurang 8:50 malam masa tu. Kawasan tempat kami parking kereta tu memang agak suram.

Seketika kemudian, mata aku tertumpu ke sebuah rumah yang kelihatan begitu usang. Entah sapa la yang duduk kat rumah tu. Aku ingatkan aku sorang je yang tengok, rupanya Asyraf pun terperasan jugak.

Azhar dah selesai menunaikan hajatnya. Sambil hisap rokok, aku ajak dia orang semua pergi ke rumah tu, sebab tadi aku terdengar semacam suara orang menjerit. Pada mulanya, Halim menolak. Penakut agaknya mamat ni... hehe... Akhirnya dia pun bersetuju sebab kami bertiga dah setuju. Sah! Memang penakut dia ni. Takut tinggal sorang-sorang kat kereta. Hehee...

Setelah memastikan kereta berkunci, kami melangkah ke arah rumah tersebut dengan semangat berani mati la kononnya. Pergi ramai-ramai boleh laa... cuba kalau pergi sorang, huh! Hehehee...

Azhar masuk dulu, diikut Asyraf dan aku. Halim mengekori belakangku sambil tarik baju. Apa ni oiii, tarik baju orang! Dengan perlahan kami berjalan. Suasana di dalam rumah tersebut sungguh muram, tak ubah macam cerita drakula yang biasa kita tengok tu. Suasana yang gelap tak mengizinkan aku untuk mengecam sepenuhnya apa yang ada di sekitarku.

Tiba-tiba aku dengar Asyraf menjerit. Maaakkkkkkkkk...! Kami semua terdiam, kecuali Halim yang sejak mula tadi sibuk ajak kami keluar. Sayup-sayup kedengaran suara perempuan ketawa. Halus je bunyinya, tapi dah cukup untuk membuatkan bulu roma aku sendiri meremang. Arghh, nyesal pulak aku masuk. Tapi takpe... bila lagi nak tunjuk hero, terutamanya kat budak Halim ni. Keluar kang, kena kutuk pulak aku, hehehe...

Kami terus berjalan perlahan-lahan. Seketika aku terasa ada sesuatu merayap di belakangku. Arghh... apa pulak ni? Semakin lama semakin kuat dan aku rasa benda tu dah hampir sampai ke leher aku. Aku jadik terkedu. Ehh... Halim mana? Pada masa yang sama juga, aku dengar macam-macam suara orang menjerit kat dalam sana.

Ziiii....! Kedengaran suara Halim memanggil nama aku. Aku tak dapat menyahut sebab aku sendiri pun tengah layan benda merayap ni. Arghhhh... spontan aku tepis benda merayap tu dah aku lari ke depan. Asyraf dan Azhar dah hilang tah kemana. Aku tinggal sendirian. Tiba-tiba aku nampak sesuatu di hadapan! Aku tak dapat lari lagi, sebab aku sedang berada di sebuah lorong sempit, dan perjalananku dihalang oleh lembaga yang aku nampak tu.

Seorang perempuan cantik sedang berjalan perlahan-lahan ke arahku, memanglah cantik tapi yang tak sanggup tu ada taring pulak. Uwaaa... apa aku nak buat ni... Aku cuba baca apa-apa ayat yang aku ingat, tapi biasa la kan, kalau dah sampai peringkat menggelabah betul ni, satu apa ayat pun tak ingat. Baca lain keluar lain. Arghhh...

Lembaga tersebut semakin hampir. Aku jadi terpaku. Kakiku seolah-olah terikat di lantai, tak boleh diangkat. Ohh ibuuu... apalah nasib anakmu ini. Aku tak dapat buat apa-apa lagi melainkan berserah sahaja. Lembaga itu dah dekat betul. Aku pejamkan mata. Aikk... tak ada apa pun. Aku buka mata semula dan... lembaga tu dah hilang!

Aku berpaling ke belakang dan nampak Halim. Disebabkan gelap, aku tak dapat pastikan muka Halim tu pucat ke tidak. Aku paling ke depan semula dan berjalan terus. Zusssss...! Betul-betul depan muka aku, lembaga tadi muncul semula. Aku hampir terjerit, tapi sebenarnya dah memang menjerit pun. Lembaga tu mengilai dan hilang semula.

Aku rasa makin lama aku makin jauh masuk ke dalam, dan makin gelap pula tu. Arghhh... tak boleh jadi ni, aku kena keluar cepat. Halim masih di belakangku, berpaut kat baju aku. Abih laaaa baju aku. Arghhh... tak peduli, janji aku keluar. Berpeluh jugak aku ni.

Dalam dok mencari jalan keluar tu, aku tersepak suatu benda keras. Aku tunduk dan cuba mengamat-amati benda tu. Haaaa? Batu nesan? Arghhh... aku pulak yang jadi takut. Tak fikir panjang, aku terus berjalan, dengan harapan pintu keluar dah tak jauh dari situ. Halim masih 'melekat' kat belakang. Nak berlari, risau jugak aku, kot tersepak apa-apa lagi ke, tak ke naya kalau tersungkur!

Dalam pada tu, bunyi pintu dibuka tutup tak berhenti-henti. Aku dah semakin takut sebenarnya, tapi cuba buat rilek. Seketika, aku sampai di satu ruang yang agak luas. Kelihatan beberapa keping papan bertaburan di atas lantai. Aku perhatikan papan tu... arghh... nampak macam papan keranda. Aku lari. Tak pedulik dah... lantaklah Halim kena tinggal pun!

Aku betul-betul dah takut. Aku terus berjalan di ruang berhabuk tu, sampailah nampak cahaya kat depan. Aku berjalan lagi, dan aku lihat daun pintu di hadapanku bergerak secara tiba-tiba. Cepat oiii... Arghhh... rupanya Asyraf yang buka pintu tu. Aku berjaya keluar akhirnya. Tak lama kemudian aku nampak Halim keluar, sambil berlari!

Asyraf dan Azhar dah cucuh rokok. Masing-masing terdiam. Kami kemudiannya berjalan ke kereta dalam keadaan separuh sewel. Amacam? Ko nampak apa Azhar? Hehehe... dia gelak je. Cheh... mamat ni berani betul! Halim diam aje, sepatah pun tak bersuara.

Kami sampai kat kereta. Aku hidupkan enjin. Setelah semua masuk ke kereta, kami teruskan perjalanan. Halim kena duduk depan, jadik co-pilot, temankan aku. Tapi dia diam je. Aku pandang ke sebelah, dan... kah kah kah kah kah kah... terburai gelak. Halim terkencing dalam seluar! Kah kah kah... semua pakat gelak. Chehh.. aku gelakkan orang, aku pun kecut jugak sebenarnya. Cuma nasib baik, aku tak kencing lam seluar macam dia... hehehe.

Plaza Tol Ayer Keroh dah kami lepasi dan sekarang kami menghala ke Port Disckson. Bersama gelak yang tak henti-henti, kami tinggalkan 'Rumah Hantu' di Tapak Pesta Ayer Keroh bersama cerita haru Halim terkencing dalam seluar.

cerita seram:langsuir

Salam sejahtera. Manusia merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan tuhan di alam maya ini. Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya kami telah jadikan manusia sebaik-baik ciptaan". Manusia juga dikurniakan sesuatu yang tidak ada pada sebarang makhluk lain... sesuatu yang disebut sebagai akal. Namun seringkali manusia sendiri tidak tahu menghargai pemberian tersebut, lalu mempersia-siakannya.

Hari sudah melangkah ke petang. Sebaik selesai menunaikan fardhu zohor, aku bergegas ke belakang rumah. Persediaan belum aku buat, sedangkan bila-bila masa dari sekarang bapa saudaraku akan sampai. Kami sudah sepakat untuk pergi memancing di Pulau Indah. Cuti persekolahanku kali ini dimulakan dengan aktiviti yang memang aku minat semenjak kecil lagi, memancing.

"Assalamualaikum...! Lan!." Ahh.. pakcikku dah sampai. "Dah siap ke belum?", laungnya lagi.

"Waalaikumussalam. Sini pakcik! Dah siap dah."

Setelah memeriksa semua keperluan, kami berangkat meninggalkan perkarangan rumah. Empat batang joran bersama keperluannya seperti mata kail, batu ladung dan sebagainya ada kami bawa bersama.

"Kita cari umpan dalam perjalanan nanti", kata pakcik.

"Okey", kataku sepatah. "Cantekkkkk," hatiku pula bersuara.

Perjalanan melalui lebuhraya agak membosankan. Aku menghidupkan radio bagi menghilangkan suasana sunyi. Pakcik terus memandu dengan tenang.

"Yeaaa... kita bersama lagi petang ini dengan lagu pembukaan yang digilai ramai sekarang, Isabella...".

Suara juruhebah kesukaan ramai, Jond, berkumandang di udara. Aku juga salah seorang peminat setianya. Persembahannya memang hebat.

Aku melayan perasaan sendiri. Pakcikku bersiul kecil mengikut rentak lagu yang sedang berkumandang. Aku ikut terhibur.

Selang beberapa minit, pakcikku menghentikan kereta di bahu jalan.

"Ada orang jual umpan tu. Mari kita tengok."

Sebaik selesai urusan membeli umpan, kami meneruskan perjalanan. Kami hanya memerlukan lebih kurang setengah jam sahaja untuk sampai ke tempat tujuan.

Kehijauan pepohon bakau melenyapkan terus keletihan. Alangkah cerianya beburung berterbangan bebas. Terlupa seketika bahawa aku akan menduduki peperiksaan PMR tak lama lagi.

"Meh sembahyang asar dulu."

Aku mengambil wudhuk dan kami berjamaah. Selesai berdoa, kami mengambil joran masing-masing dan mula memasang mata kail. Aku yang sudah biasa dengan joran dan kail, tidak berasa kekok lagi. Semuanya aku buat sendiri.

Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton.

Zuuppppp... Aku melepaskan tali pancing. Kami mula menunggu, setelah semua joran dipasang. Moga-moga kami berjaya hari ini, insya Allah.

Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.


Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.

"Isy... kenapa tak ada sekor pun naik ni?", bisik hati aku. "Belum rezeki agaknya..."

Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.

"Apa tu aaa...? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu." Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.

Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesunggunya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.

Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut menggebang-gebangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.

Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.

"Lan! Lan oii...! Kau tengok apa tu?"

Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku terus memanggil-manggil namaku.

Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan.

Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah.

"Mana pakcik?" spontan aku bersuara.

"Pakcik ada kat luar tu...", ibuku menjawab.

Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.

Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.

"Kau kena sampuk semalam agaknya". Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil.

Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya. Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.

Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.

cerita seram:kepala berambut panjang

Kisah ni berlaku ketika aku berada di tingkatan satu. Ketika itu aku tinggal di asrama. Macam biasa, aku mula letakkan kepala atas bantal ketika jam hampir menunjukkan 12:00 tengah malam. Tapi malam tu aku rasa sedikit gelisah. Entah apa puncanya, tak dapat aku pastikan. Aku cuba pejamkan mata, tapi tak berjaya. Akhirnya, lebih setengah jam berhempas-pulas, kelopak mataku berjaya juga dirapatkan.

Tak lama kemudian, aku dikejutkan oleh suatu bunyi aneh yang agak kuat. Bunyi sebegitu tak pernah aku dengar sebelum ni. Aku cuba pastikan arah datangnya bunyi tersebut. Seketika kemudian aku tergamam. Berbantukan cahaya samar-samar dari kaki lima dorm, kelihatan satu kepala tanpa badan sedang menyikat rambutnya, betul-betul di atas katil bersetentang dengan katilku. Rambutnya panjang mencecah siling. Ngeri jugak aku. Dalam separuh sedar tu, aku cuba kejut rakanku yang sedang tidur di katil sebelah. "Ina! Ina! Ina..!". Ina tersedar. "Apa hal kejut aku tengah sedap tidur ni?" ngomel Ina sambil menggenyeh matanya. Tanpa memandang ke arahnya, aku memuncungkan mulutku. "Tengok tu."  Ina memandang ke depan, dan sesaat kemudian memandang ke arahku semula.

"Takde apa pun! Engkau mengigau la... Dahlah, tidurlah! Aku ngantuk ni." Ina tak pedulikan kata-kata aku, dan terus menarik selimutnya semula. Aku berasa takut. Makhluk itu terus menyikat rambutnya. Semakin kuat sikatannya, semakin kuat pula bunyinya. Aku betul-betul tak tahu nak buat apa. Aku cuba nak kejutkan Ina sekali lagi, tapi kali ni mulutku seolah-olah terkunci.  Aku memusingkan badan. Sambil meniarap, aku memekup telinga dengan bantal. Aku takut. Bunyi tersebut semakin kuat.

Selang lima minit kemudian, bunyi tersebut semakin perlahan, dan akhirnya terus lenyap. Aku masih tak berani pusingkan kepala. Manalah tahu, tiba-tiba je makhluk tu dah terpacul depan aku, tak ke naya!

Tiba-tiba suasana sekeliling menjadi hingar. Ruang dorm yang tadinya gelap, kini terang benderang. Aku lihat ada makhluk di kanan kiri aku. Ada yang bawa baldi dan ada yang bawa tuala serta berus gigi.

"Bangun Yati oiiii! Mandi. Sembahyang subuh." Aku mengangkat bantal yang memekup telinga, dan dengan perlahan aku bangun lalu ke hujung katil sambil mataku tak berkelip memandang ke katil depan. Apa yang aku nampak? Tak ada apa, melainkan suatu lakaran di dinding yang tak pernah aku nampak sebelum ni! 

cerita seram:kepala atas kubur

Masa kecik-kecik dulu aku selalu ikut abah aku pergi usrah. Kadang-kadang pergi dekat, kadang-kadang jauh. Sebagai anak yang baik, chewahh, aku ikut la... dan memang aku sendiri pun suka bonceng motor abah aku malam-malam. Sejuk berangin je... best. Tau tak usrah tu apa? Bagi sesiapa yang tak tau, usrah tu macam perjumpaan la. Dalam perjumpaan tu, macam-macam perkara diperbincangkan, terutamanya berbentuk ilmiah. Perjumpaan begini sebenarnya menggalakkan pengeratan silaturrahmi sesama kita selain satu cara menyampaikan ilmu. Itu maksud usrah tu. Usrah tu sendiri adalah satu perkataan arab yang memberi makna keluarga.

Satu hari tu, macam biasa, aku ikut abah. Kami tak naik motor. Kerana mak aku ikut sekali, kami berkereta malam tu. Sebenarnya, sebelum tu kami pergi Melaka. Saja la jalan-jalan sambil shopping lebih kurang... Dalam perjalanan kami balik tu, singgah la kat tempat biasa sebab abah aku memang ada usrah malam tu. Kebetulan pulak, ada banyak kereta yang dah parking tepi jalan dekat surau tu. Ada satu ruang kosong kat tepi jalan, sebelah dengan kawasan kubur. Abah aku letak kereta kat situ. Aku dan mak tak keluar, sebab cuma ada setengah jam je lagi majlis tu nak bersurai. Kami sampai lewat sebenarnya...

Mak aku suruh kunci semua pintu kereta. Aku, sebagai anak yang menurut perintah, (huh!), buat la sebagaimana mak aku suruh. Dah lepas tu, aku pandang ke luar tingkap sebelah kiri. Ada banyak kubur kat situ. Ustaz aku ajar, kalu kita berada di kawasan kubur, ucapkanlah salam untuk ahli-ahli kubur tu. Kerana aku anak yang taat, maka aku pun buat la... "Assalamualaikum ya ahlal-qubr".

Aku ngan mak kat dalam kereta masing-masing buat hal sendiri. Mak diam aje kat depan. Aku kat belakang pun tak buat apa, cuma mata je melilau ke seluruh kawasan kubur tu. Hmmm... banyak pokok pisang kat situ. Ada buah ke?

Dengan tak semena-mena mata aku terpaku ke satu kubur berhampiran. Kubur tu terletak lebih kurang 3 meter je dari aku. Aku jadi tak sedap. Apa tu haa...? "Makk...!." Mak aku tak menyahut. Aku, nak kata takut tu tak jugak sebab aku tak nampak sepenuhnya benda tu, cuma samar-samar je. Tapi, dalam samar-samar tu pun, aku masih dapat mengecam. Aku nampak semacam kepala orang sedang memandang tepat ke arahku! Letaknya di atas kubur, sebelah batu nesan.

"Makk..." Aku panggil mak, tapi mak diam jugak. Aku dah mula rasa nak nangis, tapi tak terkeluar. Apa yang aku buat, cuma pandang aje kat kepala tu. Sekarang memang aku yakin dengan apa yang aku nampak. Kepala tu pulak seolah-olah senyum kat aku.

Tok! tok! tok!. Aku terkejut tak terkata. Rupanya abah dah sampai, suruh bukak kunci pintu. Mak aku yang bukakan, dan aku berpaling semula ke arah kubur tu. Kepala tu masih ada. "Mak.. Abah.. tengok tu!", sambil aku tunjuk ke kubur tu. Mak abah aku tengok ke situ. "Apa benda ada kat situ?", tanya abah. "Tak nampak ke? Ada kepala orang kat situ". Aku berpaling, pandang abah aku. Dia beriya-iya cari muka orang yang aku kata tu. Mak pun sama. Aku berpaling semula ke arah kubur tu. Tapi... aikkk! dah hilang! Kepala tu dah tak ada... macam biskut pulak. Aku tak nampak apa-apa lagi. "Dah hilangla abah. Tadi ada... betul...". Aku takkan nak bohong abah aku pulak, sedangkan aku ni memang seorang anak yang baik, yang tak reti langsung nak berbohong.

"Alaa... takde apa. Saja along nampak je tu. Takde apa. Along ngantuk tu kot." Abah aku mungkin taknak aku berasa takut, sebab tu dia cakap gitu. Aku memang tak takut pun...! Tapi itu cuma cakap kat mulut je la kan... dlm hati, tuhan saja yang tahu.

Bila dah sampai kat rumah, aku tanya mak, kenapa dia tak menyahut aku panggil tadi. Mak kata dia tertidur laaa... Alaahai, kesian mak aku. Dia penat agaknya. Takpela. "Tapi betul ke mak tak nampak kepala tu tadi?". "Mana ada... takde apa pun. Kubur tu memang la ada...". Entah. Aku diam je.

Tak lama lepas tu, aku dah lupa sebab apa, aku singgah kat surau tu waktu zohor. Senyap-senyap, aku pergi semua ke tempat abah parking kereta hari tu. Aku perhatikan betul-betul. Aku tak nampak kepala, tapi aku nampak ada huruf nun besar kat kubur tu. Alaa... kan sesetengah orang ada pasang macam dinding kubur yang warna putih tu... tapi sekarang dah kurang dah kan. Ada tertulis ayat kat dinding tu, hujung ayat tu ada huruf nun. Aku dah lupa ayat apa yang tertulis kat situ. Aku pergi panggil abah, dan tunjukkan kubur tu. Haahahaha... dia gelakkan. "Kan abah dah kata, takde apa-apa. Along nampak huruf nun tu je hari tu...". Sebagai anak yang tak melawan mak bapak, aku diam je. Tapi dalam kepala aku, dah ada jawapan. Kalau aku nampak huruf nun, macam mana dia boleh naik bertenggek atas kubur? Dah tu senyum kat aku pulak tu... Nun tu duduknya kat dinding kubur, bukan atas kubur!

Kisah kepala atas kubur ni berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Tapi aku tak boleh lupa sebab aku sendiri yang mengalaminya. Sampai ke hari ni, aku tak tau apa sebenarnya yang aku nampak tu. Tapi kalau pun betul memang ada makhluk sebegitu yang aku nampak, aku tak heran. Makhluk halus memang dicipta. Kuasa Allah tu teramat besar.

cerita seram:pengalaman ngeri penggali kubur

"Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii.. menung nampak? Kenapa?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.

"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah," saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.

Mari pergi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji, overtime dll. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.

"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.

Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.

Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal si mati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...

Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.

Eee.... seramnya. Macam mana agaknya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya ? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal'azim...

Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.

Pergi... pergi sekarang ! Johar, masa inilah kalau nak cuba . Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.

Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.

Cepat, cepat, cepat ! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi ? ' Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut ? Allah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati ...

Jadi bisu ? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!

Dimulai lafaz Bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah.

Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah, lailahaillallah, lailahaillallah...

Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh.

Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pernah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.

Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.

Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menyeberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.

Lailahaillallah

Lailahaillallah

Lailahaillallah

Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.

GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!

Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.

"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini ? " saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir.

GGGRRRRUUUMMM...

Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku..

Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.

ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK

Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.

AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!

Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.

Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba... PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.

PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!

Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah !

Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.

Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang amat dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga. Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala.

Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.

"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.

Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya.

"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.

Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.

Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.

Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.

"Johar... Johar !! " sayup-sayup nama saya dipanggil.

Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.

"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang.

Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.

Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.

"Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk.. Aku ambil air. Aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.

Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.

Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.

Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan, mimpi dan igauan semata-mata.

Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.

cerita benar: pengakuan seorang perogol

Kisah ini berlaku kepada seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US. Gadis ini sangat cantik rupa paras dan bentuk badannya juga sempurna. Tetapi dia sentiasa taat kepada Allah swt, berpakaian sopan, menutup aurat dengan 'sempurna' dan memiliki akhlak yang baik.

Pada suatu malam, gadis ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia telah tersilap dengan melalui jalan yang singkat untuk pulang di atas sebab-sebab tertentu. Laluan yang pilih itu pula agak tersorok dan kebetulan, tidak ramai orang yang lalu lalang pada masa itu.

Kerana malam yang lewat dan keadaan yang sunyi, laluan itu agak gelap dan keadaannya agak menyeramkan. Ini membuatkan gadis itu agak gelisah dan berasa takut kerana berjalan sendirian.

Tiba-tiba gadis itu ternampak ada seorang lelaki kulit putih berbangsa Amerika sedang bersandar di dinding di tepi lorong itu. Gadis itu menjadi semakin takut dan berasa tidak sedap hati. Tetapi, apa yang boleh dilakukan hanyalah berdoa kepada Allah, memohon keselamatan atas dirinya. Gadis itu pun berdoa dan membaca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah swt membantunya di saat itu.

Semasa melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan sempat mengecam wajah lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan gadis itu selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, gadis itu terbaca dalam akhbar tempatan Amerika berkenaan seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan yang dilaluinya semalam. Masa kejadian pula hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Seteleh menatap wajah perogol yang dipaparkan, gadis itu yakin bahawa perogol tersebut adalah lelaki kulit putih yang dijumpainya semalam.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan membuat aduan. Gadis itu dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, pihak polis juga mendapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol bersiri yang amat dikehendaki.

Namun, gadis itu berasa amat hairan kerana perogol itu tidak menjadikannya mangsa. Padahal dia keseorangan pada masa itu dan sebaliknya perogol itu memilih perempuan yang lalu selepas dia. Gadis itu ingin sangat mengetahui akan sebabnya. Oleh itu, dia meminta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain.

Dia pun bertanya kepada perogol itu :
Why don't you do anything to me on that night even though you know that I'm alone ?
Mengapa kamu tidak melakukan apa-apa terhadap saya pada malam tersebut sedangkan kamu tahu saya sedang berjalan bersendirian ?

Perogol tu menjawab :
No, you are not alone ! That night I saw two young man walking with you.
One on your right side and the other one was by your left side.
If you were alone of course you will be my victim
Tidak, kamu tidak bersendirian. Malam itu saya nampak dua lelaki muda berjalan bersama kamu. Seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri kamu. Jika bersendirian sudah tentu kamu yang akan menjadi mangsa saya kerana kamu yang saya jumpai lebih dahulu 

cerita seram:misteri kematian polis

Misteri Di Sebalik Kematian Seorang Polis

Apabila disebut sahaja perkataan ‘polis’, apakah yang terbayang di fikiran anda ? Majoriti dalam masyarakat akan lebih cenderung untuk membayangkan perkara-perkara yang negatif tentang pasukan beruniform ini.
Seperti pengawas di sekolah, polis juga digambarkan sebagai komuniti yang suka mencari kesalahan orang lain. Setiap apa yang kita lakukan, akan diperhatikan oleh mereka setiap masa. Tetapi, adakah tanggapan ini benar ? Mungkin peristiwa yang benar-benar berlaku ini boleh mengungkap sedikit perkara yang anda perlu tahu tentang pasukan penguatkuasa ini.


Kisah benar yang diceritakan oleh : Ustaz Haji Zainal Abidin Abdul Karim

Sebaik sahaja selesai dimandi dan muka Arwah dilap, mata saya terpaku menatap wajahnya. Seperti tidak percaya bahawa sesuatu yang amat luar biasa berlaku di hadapan mata saya.

Dengan kekuasaan Allah Yang Maha Agung dan Maha Besar, wajah Arwah yang sudah berusia 60-an tiba-tiba bertukar menjadi seperti wajah yang berusia 30-an. Kulitnya yang seketika tadi berkedut bertukar menjadi tegang. Raut wajahnya memang memikat sementara senyumannya cukup manis seolah-olah Arwah meninggalkan dunia yang fana ini dengan hati yang seronok

Lama saya terpegun menatap wajah Arwah. Cukup hebat kekuasaan Allah swt hingga dalam waktu beberapa detik sahaja wajah yang sudah berkedut diubah-Nya menjadi kembali muda dan tampan. Saya terus menatap wajah dari hujung rambutnya hingga ke hujung dagu dengan rasa yang amat kagum di atas kebesaran Allah swt dan kemuliaan Arwah.

Tanpa disedari, orang semakin ramai dan berpusu-pusu menziarahi Arwah. Seperti saya, mereka juga berebut-rebut untuk menatap wajah Arwah. Dan seperti saya juga, setiap mata yang memandang Arwah pasti akan terus terpaku kepadanya. Sebilangan besar mereka juga tertanya-tanya, benarkah jenazah yang terbaring di hadapan mereka itu adalah Allahyarham.

Eh, betul ke bapa awak yang meninggal dunia ? Bukan adik ? Tanya salah seorang daripada mereka yang nyata tidak dapat mengecam wajah Arwah.

Betul, itu ayah saya, jawab anak Arwah. Bukan dia seorang, malah kebanyakan yang menziarahi Arwah juga begitu. Keseronokan segera terpancar di hati kami. Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan jenazah, saya seperti tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan pengurusan jenazahnya. Sementara keluarga, saudara-mara dan orang ramai yang menziarahi Arwah terus ingin menatap wajah Arwah.

Walaubagaimanapun, yang pergi perlu diuruskan juga. Jenazah Arwah kemudiannya dikapan dan seterusnya dikebumikan. Sepanjang urusan tersebut, suasana cukup tenang, aman dan menyeronokkan. Tidak ada sebarang masalah yang kami tempuhi, malah orang ramai seperti berebut-rebut ingin membantu urusan pengkebumian jenazah arwah.

Kembali dari pengebumian Arwah, fikiran saya terus menerawang mengingati kemuliaan Allah swt berikan kepada jenazah Arwah. Begitu sekali balasan yang Allah swt berikan kepadanya.

Namun bagi kami yang mengenali Arwah, memang layaknya dia diberikan kemuliaan sedemikian rupa kerana semasa hidupnya, Arwah memang seorang yang bertaqwa. Riwayat hidupnya dipenuhi dengan amal ibadah, bukannya perbuatan-perbuatan mungkar.

Arwah adalah bekas pesara polis yang bertugas di Bahagian Perhubungan Awam, salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Arwah sangat dihormati kerana beliau merupakan seorang yang pemurah dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Tugasnya sebagai pegawai polis digunakan sepenuhnya bagi membantu orang ramai.

Arwah tidak pernah berkata ‘tidak’ bagi setiap orang yang meminta pertolongan, walaupun mereka datang pada jam 2 – 3 pagi. Dikejutkan pada waktu tengah malam dan dinihari ketika di luar tugas juga adalah perkara biasa bagi Arwah dan setiap tetamu yang datang disambutnya dengan muka yang manis.

Ketika orang lain sedang nyenyak tidur , dipeluk kedinginan pagi dan dibuai mimpi, arwah bersengkang mata membantu orang yang datang meminta bantuannya. Dia tidak pernah merungut malah bersedia membantu mereka dengan hati yang gembira.

Selain Arwah, isterinya juga bersikap demikian. Mereka berdua tidak pernah lekang daripada membuat amal jariah, membantu anak-anak yatim dan pelajar-pelajar universiti dengan mengambil mereka sebagai anak angkat. Anak yatim dan anak angkat yang mereka pelihara telah berjumlah puluhan orang.

Melakukan kebaikan bukanlah satu perkara yang mudah. Pasti ada sahaja orang yang iri hati dan berprasangka buruk. Walaupun bermacam-macam tomahan dan kata-kata yang cuba melemahkan semangat, namun mereka tidak mengambil peduli. Malah dia tetap seperti biasa membantu orang yang memerlukan pertolongannya.

Bagi Arwah, menghulurkan bantuan lebih besar nilainya daripada wang ringgit. Arwah juga tidak berkira langsung dari segi wang ringgit hinggakan jika tidak mempunyai wang, Arwah sanggup meminjam daripada anak-anak atau isterinya. Ini merupakan satu pengorbanan yang amat besar demi membantu insan lain. Gaji Arwah bukanlah besar, tanggungannya juga bukan ringan, namun Arwah tidak pernah menunjukkan kesusahannya kepada orang lain.

Selain itu, Arwah juga dikenali masyarakat sebagai seorang yang warak. Beliau adalah merupakan seorang imam surau semasa hayatnya.

Walaupun sudah beberapa tahun Arwah pulang menghadap Ilahi, namun sehingga kini orang masih menyebut-nyebut tentang kebaikannya. Anak-anak angkat Arwah juga masih datang ke rumahnya, bermalam sewaktu cuti dan berhari raya bersama keluarga di situ. Jangan menganggap keakraban itu sebagai biasa kerana sebilangan daripada anak-anak angkat Arwah berasal dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri yang dari ibu kota ini.

Kemuliaan yang Allah swt berikan kepada Allahyarham itu mengingatkan saya bahawa di dalam syurga nanti tiada orang-orang yang tua.
Semua penghuni syurga muda-muda belaka, tampan, cantik dan menawan. Adakah iktibar ini yang ditunjukkan oleh Allah swt menerusi keajaiban yang berlaku ke atas jenazah Arwah ?

Walaupun peristiwa itu berlaku lima tahun yang lalu, namun kesempatan menguruskan jenazah Arwah adalah satu kepuasan kepada saya. Itulah pengalaman paling menarik sepanjang penglibatan saya sebagai sebagai pengurus jenazah. Ia sungguh bermakna dan memberi keinsafan kepada diri saya. 

cerita seram:menempah bilik

Menurut majalah tersebut, pada hari kejadian, gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat itu menaiki sebuah mikrobas (bas mini) untuk menuju ke satu destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis, seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.
Gadis itu dlm lingkungan 20 tahun. Didalam bas itu ada seorang tua yg dipenuhi uban menegurnya, "Wahai pemudi,alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu. Itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki " nasihat orang tua itu.
Namun, nasihat yang sangat bertepatan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang nakal dan mengejek. " Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka? " Setelah menghamburkan kata-kata yg sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat.
" Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka Jahannam untukku " katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab. Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis itu. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perlakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam. Ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Lantas semua yang di dalam bas itu tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak menghormati hukum hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan menghina agama dgn lebih teruk lagi.
Sepuluh minit kemudian bas itu pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut didapati tertidur dimuka pintu bas. Puas pemandu bas dan para penumpang yang lain mengejutkannya tetapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba-tiba orang tua yang menasihatinya tadi terus memeriksa nadi si gadis itu. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Para penumpang menjadi cemas dengan situasi yang menggemparkan itu.
Dalam suasana kelam kabut itu, tiba-tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang sedang aneh berlaku pada mayat gadis yang terbujur kaku di jalan raya itu. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan untuk menguruskan mayat itu.

cerita hantu:hantu tali gantung

Kampung Pandan Seri sedang musim durian. Sepanjang musim itu Bang Akob tidur di pondok duriannya, beberapa meter dari tanah perkuburan Islam kampung itu. Seperti biasa, menjelang tengah malam dia pasti menyusur dusunnya memungut durian. Kalau tidak, sudah pasti duriannya akan dipungut budak-budak dadah yang sering merayau-rayau di dusun orang tidak kira waktu.

Malam itu, angin mendesah. Sekali sekala kilat memancar. Durian amat rahat. Di setiap penjuru dusun kedengaran bunyi durian gugur. “Kalau tak cepat pungut, habislah pagi esok…” kata Bang Akob dalam hati. Sambil menggalas bakul rotan, dia menyuluh di kawasan pangkal pokok yang ada dua puluh batang itu. Kebanyakan pokok durian di dusun Bang Akob pokok tua. Dusun itu harta pusaka peninggalan ayahnya.

Angin malam itu terus mendesah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang perlahan. Ketika bertiup kencang, meliang-liuk kebanyakan dahan pokok dibuatnya. Ketika itu juga kedengaran bunyi durian gugur bertambah banyak. Hati Bang Akob kepalang gembira. Rezekinya esok hari pasti bertambah, fikirnya.

Sebiji demi sebiji durian dipungut dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. Hati Bang Akob begitu lega. Duriannya tak sempat dipungut Mat Gian – panggilan biasa kepada budak-budak penagih dadah di kampungnya.

Bagaimanapun sesampai saja di pangkal sebatang durian berhampiran tanah perkuburan itu, Bang Akob terkejut. “Eh, dah datang pun dia…nasib baik aku sudah habis pungut…tak dapatlah dia,” bisik hati Bang Akob sebaik saja dia ternampak satu lembaga di tepi dusunnya.

“Fasal apa dia menuju ke kubur pula?” Kata Bang Akob kehairanan. Bang Akob bergerak menyusur ke penjuru tanahnya. Kemudian dia menyembunyikan diri di sebalik sebatang pokok besar. Lembaga itu bergerak perlahan sambil menarik seutas tali bubut kira-kira dua depa panjangnya. Tanpa membuang masa Bang Akob menyuluh. Suluhannya tepat ke wajah lembaga itu. Sekali lagi Bang Akob terkejut apabila wajah lembaga itu menyerupai orang yang dikenalinya.

“Eh, aku kenal…” bisik hati Bang Akob. “Pak Misan…!” Bang Akob melaung sekuat-kuatnya memanggil Pak Misan, orang tua kampung yang sering menjadi temannya berbual.

Bagi penduduk Kampung Pandan Seri, Pak Misan adalah seorang tokoh. Dia terkenal pendekarnya. Selain itu, dia juga tempat penduduk lelaki meminta ubat untuk menguatkan tenaga tertentu.

Tiada sebarang jawapan daripada lembaga itu. Ia berjalan terus sambil mengheret tali bubut. Tidak beberapa minit satu kejadian mengejutkan Bang Akob. Sebaik-baik saja dia membongkok memungut durian dan kemudian tegak semula, lembaga berwajah Pak Misan hilang dalam gelap malam itu.

Puas juga Bang Akob menyuluh di setiap penjuru dusun duriannya, namun lembaga itu tetap tidak kelihatan lagi. Bang Akob melaung memanggil Pak Misan tetapi tidak ada sebarang jawapan. Dia mula takut. Angin bertiup lebih kencang. Daun-daun berguguran. Kilat memancar sekali-sekala. Bunyi burung hantu di kejauhan menambahkan seram suasana ketika itu.

Bang Akob betul-betul ketakutan. Dia tidak mempedulikan lagi durian yang gugur. Apa yang ada di bakulnya, itu saja yang dibawa pulang ke pondok. Langkahnya begitu cepat. Hatinya bertanya sendiri: ”mengapa Pak Misan merayau di tanah kubur pada tengah-tengah malam begini?”

Menjelang subuh, Bang Akob pulang ke rumah membawa durian yang penuh sarat di dalam bakul di belakang motosikalnya.

Sebaik saja sampai di kepala simpang, Bang Akob terkejut besar ramai penduduk berkumpul di situ. Sebuah Land Rover hitam juga ada di situ.

“Eh apa halnya?” Tanya Bang Akob apabila ternampak kaki orang terjulur dari belakang Land Rover hitam itu.

Pagi itu Kampung Pandan Seri gempar secara tiba-tiba. Seorang penduduk, Mat Jami menemui mayat Pak Misan terlentang di bangsal di belakang rumahnya. Terpandang saja mayat itu, Mat Jami patah balik ke masjid. Dia ingin memberitahu jemaah masjid yang belum pulang selepas menunaikan solat subuh.

Ketua kampung dan Pak Imam masih di masjid. Mereka dan beberapa jemaah terkejut dengan berita yang dibawa Mat Jami. Tanpa membuang masa, mereka beredar ke rumah Pak Misan, Pak Misan sudah kaku di tepi bangsal. Mayatnya dikerumuni semut halus.

“Eh, apa hal Pak Misan memegang tali?” Tanya Pak Imam. Semua yang ada menerpa menghampiri mayat Pak Misan. Soalan itu tidak berjawab. Tidak ada seorang pun di situ yang tahu mengapa seutas tali bubut panjang dua depa itu ada di sisi Pak Misan.

“Kemaskan rumah Pak Misan,” arah Tuk Ketua Kampung. “Seorang pergi beritahu polis.”

Beberapa orang segera naik ke rumah Pak Misan. Pintu depan dan semua tingkap rumah itu terbuka. Mereka mengemas di sana sini dan membentang tikar tempat Pak Misan dibaringkan nanti.

“Kemudian kamu beritahu semua anak Pak Misan,” sambung Tuk Ketua Kampung apabila salah seorang penduduk bersedia dengan motosikalnya untuk ke balai polis kira-kira lima kilometer dari kampung itu.

Dalam masa yang singkat saja kematian Pak Misan tersebar ke seluruh kampung. Orang ramai mulai datang kerana ingin melihat keadaan Pak Misan yang dikatakan misteri itu.

Polis datang dan mengambil mayat Pak Misan untuk dibedah siasat. Orang kampung terus mengerumuni Land Rover hitam. Ketika itu Bang Akob sampai dan dia berhenti di situ bersama-sama dengan orang ramai. Di situ juga dia mendengar cerita mengenai mayat Pak Misan terbujur memegang seutas tali.

“Pak Misan memegang tali?” Tanya Bang Akob sendirian. Keanehan itu timbul kerana dia sendiri terserempak dengang lembaga menyerupai Pak Misan di kebun durian. Dia juga kelihatan mengheret seutas tali.

Selesai urusan pengkebumian Pak Misan, cerita misteri kematian Pak Misan tidak habis di situ. Ia merebak terus. Ramai yang bersimpati dengan arwah Pak Misan namun ramai juga yang mengaitkannya dengan pelbagai kisah timbul ketika Pak Misan masih hidup.

Seminggu selepas kematian Pak Misan, timbul pula kejadian yang lebih buruk. Kampung Pandan Seri ditimpa suasana yang menakutkan. Menjelang senja saja, terdengar suara terpekik terlolong kononnya terpandang lembaga mengheret tali berjalan di sekitar rumah Pak Misan. Yang mendakwa nampak hanya seorang dua, tetapi ceritanya cepat merebak sampai ke telinga anak remaja dan suri rumah.

Suatu senja, beberapa lelaki agak tua berjalan melintasi rumah arwah Pak Misan yang tinggal kosong sejak kematiannya. Sebaik saja sampai di depan rumah itu, mereka ternampak jelas satu lembaga menyerupai Pak Misan.

Sebelum meninggal, di situlah biasanya Pak Misan berdiri menunggu kawan-kawannya bersama ke masjid.

Hari demi hari, semakin ramai orang terserempak dengan lembaga itu. Yang anehnya tiap kali bertemu lembaga orang tua itu sedang mengheret tali.

Bukan itu saja,tali bubut itu juga melahirkan satu lagi misteri. Beberapa orang suri rumah pernah terserempak tali itu berlengkar di depan pintu rumah.

Kejadian itu sesungguhnya amat menakutkan penduduk Pandan Seri. Langkah mengatasinya diambil. Tuk Ketua Kampung memanggil anak buah berkumpul mencari jalan menghilangkan jelmaan itu. Ramai penduduk kampung bersimpati dengan arwah Pak Misan.Mereka tidak mahu jelmaan lembaga itu dikaitkan dengan Pak Misan. Sudahlah ketika ada hayatnya dulu hidup sebatang kara, ditinggal anak dan matinya pula menjadi sedemikian rupa.

“Baiklah, biar saya cuba bercakap dengan lembaga itu,” kata Pak Imam membuat cadangan.

“Saya nak ikut Pak Imam,” celah seorang ketika berlangsung pertemuan penduduk di masjid kampung itu.

“Biar saya pergi seorang diri…” jawab Pak Imam, ”saya merayu dengan makhluk halus itu nanti supaya jangan mengganggu penduduk kampung kita.”

Ramai orang tua di kampung itu percaya kononnya ketika hayatnya dulu, Pak Misan banyak menyimpan ilmu batin, termasuklah ilmu mempertahankan diri dan penggerun. Banyak makhluk halus mendampinginya. Akibatnya kehidupan Pak Misan menjadi tidak tenteram, terutama pada penghujung hayatnya.

Pada usia penghujung enam puluhan, Pak Misan kematian isteri. Dia tinggal kesepian. Semua anaknya sudah berkeluarga dan tinggal jauh dari rumah orang tua itu. Akhirnya, kira-kira enam bulan hidup membujang dan dihimpit pelbagai tekanan perasaan, Pak Misan menyuarakan rasa hati kepada semua anaknya untuk berkahwin lagi.

“Tak boleh ayah… kalau ayah mati nanti senang-senang saja janda ayah dapat harta… kami dapat apa?”kata anak sulung. Anak yang lain juga sekata.

Mendengar itu, Pak Misan tunduk saja. Air matanya menitis ke lantai. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul… Pak Misan menahan hati tidak terhingga. Semua anaknya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaan dan perasaan si ayah.

Agak lama juga Pak Misan bergelut dengan perasaan. Rayuan dan pujukan syaitan tidak putus-putus menyerang Pak Misan. Dengan sedikit iman di dada dapat juga Pak Misan melawannya, namun sampai bila?

Suatu hari pujukan syaitan bertambah kuat. Ia menabur janji yang indah-indah dengan syarat Pak Misan mengikut kehendaknya. Pak Misan bergelut lagi dengan hasutan itu. Akhirnya dia sudah mencapai seutas tali, tetapi dia masih mampu melawan pujukan itu. Dia rebah di bangsal di belakang rumah.

Sejak kematian Pak Misan, timbulah pelbagai cerita mengenainya. Ada yang menamakan jelmaan lembaga itu sebagai ‘hantu tali gantung’. Begitu buruknya sekali fitnah yang dicipta sesetengah anggota masyarakat kampung itu.

“Assalamualaikum…!”seru Pak Imam di depan rumah Pak Misan. Tiada jawapan. “Sah ini syaitan… ia menyerupai… jahatnya syaitan jahanam!” kata Pak Imam dalam hati. Kemudian dia membaca ayat suci khusus menghalau syaitan. “Sudah… Pak Misan sudah meninggal… ini bukan dunianya lagi… pergi!” 

panas dan terhangat

Promosi

Koleksi

6 tanda-tanda rumah berhantu Cara melihat hantu dengan mudah Cara mengesan kewujudan hantu cerita benar: pengakuan seorang perogol cerita hantu : chatting di hostel Cerita hantu : Ditegur arwah cerita hantu : diusik penunggu rumah Cerita hantu dan seram: Hantu jerangkung Cerita hantu dan seram: Roh wanita di rumah sewa - Seksyen 7 cerita hantu seram misteri kampung Tanduo cerita hantu seram: Diganggu ketika bertugas malam cerita hantu seram: Tetamu malam Cerita hantu: Hantu Penanggal cerita hantu:hantu penanggal cerita hantu:hantu tali gantung cerita hantu:penunggu cerita misteri Cerita Misteri Seram : Kemanyan City Johor Bahru Cerita Misteri: Hantu di Jambatan Kg. Sungai Cengal Cerita seram : Misteri lorong Cerita seram : Sapaan jururawat cerita seram: bayi terkena badi cerita seram: diganggu hantu jepun cerita seram: diganggu syaitan Cerita seram: Jelmaan Tok Bidan bawa janin keliling kampung cerita seram: pontianak Cerita seram: Pramugari bersetubuh dengan hantu raya Cerita seram: Roh wanita dalam tandas cerita seram: teksi cerita seram: tetamu misteri cerita seram: toyol curi duit cerita seram:arwah ibu lawat anak cerita seram:kaki cari tubuh cerita seram:kepala atas kubur cerita seram:kepala berambut panjang cerita seram:langsuir cerita seram:menempah bilik cerita seram:misteri kematian polis cerita seram:pengalaman ngeri penggali kubur Gadis ghaib muncul di kubur jelmaan tiga gadis misteri di tasik melati Jenis-jenis hantu Kelantan Ketereh kisah cerita hantu dan seram di gunung pulai kisah cerita hantu dan seram di hospital putra jaya kisah cerita hantu dan seram di sebuah hotel di Ipoh kisah misteri lorong sunyi Kisah seram : Tengkorak terbang di Seri Alam Kisah seram benar : Pengalaman penggali kubur kisah seram di pantai kisah seram di pondok kebun pisang Kisah Seram Jalan Lama Karak Kisah seram: Asrama Kisah seram: Banglo lama di Taiping Kisah Seram: Hantu di UTP Mimpi seram: Arwah minta bersihkan darah bawah tikar Peluang pekerjaan secara Sambilan/ Part time : Tambah pendapatan anda hanya dari rumah Peluang pendapatan : Pekerja sambilan diperlukan Roh ibu mencari bayi Seram: Puaka di Genting Shah Alam video hantu dan seram 1 video hantu dan seram 2 video hantu dan seram 3